Hotayi Electronic labur RM300 juta kembang operasi
17 Okt 2021
Syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik, Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd, melabur sebanyak RM300 juta untuk mengembangkan kemudahannya di sini bagi menampung peningkatan permintaan terhadap produknya.
Pengarah Urusannya, Goh Guek Eng, berkata pengembangan kemudahan itu akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 50 peratus dan mewujudkan 600 peluang pekerjaan baharu.
“Pengembangan ini penting bagi kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Kami menjangka pembinaan selesai pada April 2022 dan pengeluaran di kilang baharu itu dijangka bermula pada Mei 2022,” katanya pada upacara pecah tanah, di Batu Kawan, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Pengerusi Hotayi Electronic Datuk Seri Lee Hung Lung dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Loo Lee Lian.
Sementara itu, Chow berkata Hotayi Electronic giat mengembangkan bakat kejuruteraan dan pekerja mahir dan projek pengembangan baharu itu akan meluaskan usahanya dan meningkatkan lagi daya saing tenaga kerja tempatan.
“Agak melegakan melihat aspirasi Hotayi tidak terjejas oleh cabaran ekonomi global.
“Saya yakin Pulau Pinang akan mendapat manfaat daripada prospek menarik industri pada masa depan dan ekosistem perindustrian serba boleh dan prasarana kita yang baik akan menyokong keperluan pertumbuhan Hotayi di Pulau Pinang,” katanya.
Menurutnya, Pulau Pinang mencatatkan peningkatan ketara dalam perdagangan luar negara hasil daripada ekosistem pembuatan kukuh negeri itu meskipun berdepan penularan pandemik COVID-19.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, eksport Pulau Pinang meningkat 15 peratus tahun ke tahun kepada RM223 bilion, mewakili 29 peratus daripada eksport negara dan menjana lebihan perdagangan RM65 bilion atau 44 peratus daripada lebihan perdagangan negara.
Sumber: Bernama