RMK-12: Malaysia akan menjadi negara pendapatan tinggi pada tahun 2025, KDNK berkembang 4.5-5.5 peratus setahun - PM - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


RMK-12: Malaysia akan menjadi negara pendapatan tinggi pada tahun 2025, KDNK berkembang 4.5-5.5 peratus setahun – PM

RMK-12: Malaysia akan menjadi negara pendapatan tinggi pada tahun 2025, KDNK berkembang 4.5-5.5 peratus setahun – PM

27 Sep 2021

Pelbagai pembaharuan yang dibawa  dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik pada tahun 2025,  kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

RMK-12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama, katanya.

“Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara atau whole-of-nation approach yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan,” kata perdana menteri dalam ucapannya semasa membentangkan usul mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 di parlimen hari ini.

“Tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata. Sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah,” tambah beliau.

Di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Perdana menteri berkata dalam tempoh lima tahun 2021-2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun.

“Saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMK-12.”

Sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik dijangka akan pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8 peratus sementara perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada tahun 2025, jelas beliau.

Ismail Sabri berkata fokus dalam merancakkan ekonomi akan tertumpu kepada usaha mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.

“Pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi  iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan. Transformasi PMKS juga akan diperkasa,” tambah Ismail Sabri.

Pertumbuhan produktiviti pula akan dilonjakkan melalui aktiviti  penyelidikan dan inovasi, penggunaan teknologi termaju, di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh kurang mahir.

Katanya kerajaan mahu melihat sektor swasta kembali memainkan peranan lebih besar bagi membantu negara memacu pertumbuhan ekonomi.

“Sehubungan ini, saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengurangkan kerenah birokrasi, menyediakan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya harap, memperkukuh ekosistem bagi menyokong pelaburan swasta dan membangunkan tenaga kerja mahir,” katanya.

Kerajaan juga telah bersetuju meluluskan beberapa program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam RMK-12 bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industry strategik.

“Antaranya, dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik; penubuhan Centre of Excellence for Future Industry; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju,” kata beliau.

Kerajaan juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

“Untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan dan berteknologi tinggi, kita tiada pilihan selain menerima guna teknologi baharu dan berusaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri. Kita juga perlu memastikan infrastruktur diperkukuh dan bakat masa hadapan dibangunkan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi,” kata Ismai Sabri.

Antara lainnya, penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta, bernilai RM28 bilion bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada sementara bagi mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara, sebanyak RM15 bilion lagi akan dilabur oleh sektor swasta.

Selain itu, sejajar dengan perkembangan teknologi serta inovasi, usaha untuk melahirkan pembangun dan pencipta teknologi tempatan akan dipergiat bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Bagi tujuan ini, semua aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D), pengkomersialan dan inovasi  akan dijajarkan dengan keutamaan negara. Sebanyak 50 peratus daripada dana penyelidikan kerajaan akan disediakan untuk penyelidikan eksperimental yang berpotensi untuk dikomersialkan,” kata Ismail Sabri.

Justeru, kerajaan telah meluluskan penubuhan pusat sehenti bagi pengkomersialan dan pemindahan teknologi serta Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).

Bagi menyelaras aktiviti R&D dan pengkomersialan dan inovasi serta memastikan ianya bersesuaian dengan keutamaan nasional, Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) telah ditubuhkan.

Peranan RMU adalah untuk mengurangkan pertindihan fungsi, memperkukuh kerjasama antara pihak industri, ahli akademik dan kerajaan dalam pelbagai bidang, serta meningkatkan kecekapan dalam penggunaan sumber sedia ada.

Pada tahun 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D kepada KDNK dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.0 peratus sahaja pada tahun 2020.

Sektor swasta disasarkan menyumbang lebih besar dengan peningkatan dua kali ganda, iaitu mencapai 70 peratus kepada jumlah perbelanjaan R&D, tambah beliau.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon