RMKe-12 wajar tumpu pengukuhan industri aeroangkasa - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


RMKe-12 wajar tumpu pengukuhan industri aeroangkasa

RMKe-12 wajar tumpu pengukuhan industri aeroangkasa

23 Sep 2021

Malaysia perlu terus membangunkan asas kukuhnya dalam industri aeroangkasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kerana ia boleh mempercepat penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), meningkatkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta merangsang pertumbuhan ekonomi.

Selain Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB2030), RMKe-12 boleh membantu memacu pertumbuhan industri itu yang menjana pekerjaan kepada lebih 25,000 pekerja mahir setakat ini.

Selain terletak strategik di tengah-tengah rantau Asia Pasifik dan pasaran perjalanan udara terbesar dunia, Malaysia juga memiliki beberapa universiti awam dengan keupayaan kejuruteraan aeroangkasa yang kukuh, terutama dalam menguji reka bentuk aerodinamik baharu serta kejuruteraan mekanikal dan elektrik.

Universiti ini sudah melahirkan ramai juruteknik aeroangkasa berkemahiran tinggi.

Bagaimanapun, perlu juga ada penambahbaikan dari segi sukatan pelajaran kerana teknologi berubah dengan sangat pantas, kata Pengarah Institut Kajian Antarabangsa dan Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sufian Jusoh.

“Sesetengah institusi masih ketinggalan dari segi sukatan pelajaran mereka. Ia bukan hanya sekadar untuk melahirkan juruterbang sahaja tetapi lebih daripada itu, dari segi mewujudkan teknologi dan keupayaan untuk menyesuaikan dengannya. Jadi, keseluruhan ekosistem perlu disokong dan dinaik taraf,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, ia adalah sesuatu yang perlu dikaji oleh kerajaan, mewujudkan satu ekosistem kondusif agar industri dapat berkembang maju dan menyumbang kepada ekonomi.

Penganalisis penerbangan di Endau Analytics, Shukor Yusof, pula berkata kerajaan perlu lebih realistik dan merangka strategi yang benar-benar baharu bagi sektor aeroangkasa.

Beliau berkata, walaupun kerajaan bergantung kepada aeroangkasa sebagai satu daripada pemacu utama RMke-12, ia tidak dijangka berlaku dalam tempoh terdekat ini kerana industri berkenaan kini terjejas teruk akibat pandemik dan akan mengambil masa beberapa tahun untuk kembali pulih sepenuhnya.

“Justeru, kerajaan perlu lebih realistik dan mengusahakan satu strategi baharu bagi sektor terbabit,” katanya.

Hasil daripada industri aeroangkasa turun antara 20 dan 30 peratus pada 2020 berbanding RM16.22 bilion pada 2019.

Penerbangan adalah subsektor yang paling terjejas teruk berikutan penutupan sempadan antarabangsa dan keterbatasan perjalanan domestik.

Perniagaan pembuatan aeroangkasa serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) mengalami pesanan dan perkhidmatan penyelenggaraan berat yang tertangguh.

Shukor yakin pengukuhan kalangan peserta dalam sektor ini adalah antara faktor penting, susulan pasaran dijangka susut pada pasca-pandemik COVID-19.

Pada masa ini, terdapat lebih 240 syarikat berkaitan aeroangkasa beroperasi di Malaysia merangkumi peserta tempatan dan global.

Peserta global utama turut menubuhkan pusat serantau mereka di Malaysia untuk menenuhi keperluan pasaran Asia-Pasifik yang semakin berkembang.

Ia termasuk pusat sokongan kejuruteraan serantau Airbus untuk seluruh Asia kecuali China, serta GE Engine Services Malaysia (GEESM), yang juga satu-satunya pusat baik pulih lengkap GE Aviation di Asia-Pasifik.

“(Malaysia sewajarnya) memanfaatkan peluang dalam kargo, dan melabur dalam kapal pengangkut. Kerajaan perlu melaksanakan peranan lebih besar dalam memudahkan dana untuk syarikat penerbangan (awam dan persendirian) serta pengedar rantaian bekalan,” katanya.

Seorang pemantau industri yang turut senada dengan Shukor berkata, penting untuk kalangan pihak berkepentingan industri mempunyai strategi dan tindakan yang lebih selaras supaya dapat memastikan matlamat MAIB2030 berjaya direalisasikan.

“RMKe-12 tepat pada masanya ketika Malaysia berada di landasan untuk mencapai imuniti kelompok manakala industri termasuk perjalanan udara akan kembali dibuka. Berlandaskan tindakan dan hala tuju yang tepat, kita akan berkedudukan baik untuk memanfaatkan peluang yang ada, khususnya dalam bidang kelestarian,” katanya.

Landskap penerbangan sedang bergerak pantas ke dalam bidang mesra alam sekitar mendorong peserta utama seperti Airbus dan Boeing membangunkan pesawat dan enjin lebih mesra alam sekitar, termasuk pembangunan pesawat komersial hibrid-hidrogen sifar pelepasan Airbus yang dikenali sebagai ZEROe, manakala ecoDemonstrator 787 oleh Boeing yang menggunakan kelebihan data raya bagi penerbangan cekap masa sebenar.

“Justeru, ia satu bidang yang boleh dimanfaatkan,” katanya.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan perjalanan global akan kembali ke tahap seperti sebelum pandemik antara tahun 2023 dan 2024 dengan perjalanan serantau menjadi pemacu industri.

Berikutan peningkatan perjalanan udara, pengeluar peralatan tulen global (OEM) menjangkakan pasaran pesawat komersial akan pulih secara beransur-ansur antara 2023 dan 2025.

Selepas tahap itu, OEM menjangkakan peningkatan pesanan akan mengatasi penghantaran pesanan yang tertunggak.

Permintaan terhadap pesawat komersial baharu dijangka menjurus kepada pesawat yang cekap bahan bakar dan didominasi oleh pesawat satu lorong, yang digunakan untuk laluan jarak dekat serta kargo udara, sektor pertahanan dan angkasa.

Teknologi aeroangkasa mendorong banyak kemajuan dalam industri elektrik dan elektronik, semikonduktor, mesin dan peralatan, serta perisian dan ketenteraan.

Negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah, Korea Selatan, China, Jepun dan Singapura semuanya mempunyai industri aeroangkasa yang kukuh sebagai teras ekonomi inovasi mereka.

Korea Selatan, sebagai contoh, adalah pengeluar teknologi aeroangkasa yang penting hari ini, mengeluarkan jet pejuang T-50 mereka sendiri.

Negara itu juga dominan di seluruh dunia dalam sektor elektrik dan elektronik serta mesin dan peralatan dengan konglomerat seperti Hyundai dan LG kedua-duanya mempunyai bahagian aeroangkasa yang menjadi antara pemacu pembangunan teknologi mereka.

Di Malaysia, syarikat tempatan, Aerodyne Sdn Bhd, kini syarikat teknologi dron kedua terbesar di dunia yang menyediakan perkhidmatan kepada industri telekomunikasi, tenaga, infrastruktur, pertanian dan pengangkutan di lebih 20 negara di seluruh dunia.

Aerodyne adalah contoh terbaik bagaimana industri aeroangkasa menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang ekonomi teknologi yang baharu.

Sufian berkata, Malaysia masih mempunyai kelebihan kompetitif dalam bidang ini di ASEAN walaupun terdapat gergasi seperti China dan Jepun dalam segmen ini.

“Kita mempunyai banyak penggiat dalam bidang pesawat tanpa pemandu (UAV) dari segi dron serta logistik. Ini boleh dibangunkan, kita masih mempunyai kelebihan daya saing dalam hal ini,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon