BSLCorp bakal ambil alih syarikat semikonduktor Singapura, SD Unify
06 Sep 2021
BSL Corporation Berhad dijangka meningkatkan penguasaan pasaran dalam sektor semikonduktor menerusi cadangan pengambilalihan SD Unify Pte Ltd (SD Unify) yang merupakan sebuah syarikat dari Singapura.
Dalam satu kenyataan, BSLCorp telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pengambilalihan syarikat yang mengendalikan Pejabat Pusat Pemerolehan (IPO) itu.
SD Unify menghubungkan rantaian bekalan luar negara bagi peralatan asli semikonduktor (OEM) komponen Senarai Vendor yang Diluluskan (AVL).
Pengarah Eksekutif BSLCorp, Brian Hoo Wai Keong berkata, mengambil kira permintaan pasaran semasa, cadangan pengambilalihan SD Unify tepat pada waktunya untuk kumpulan mengembangkan capaian pasaran dalam sektor semikonduktor.
“BSLCorp terlibat dalam pembuatan kontrak dengan pendedahan dalam sektor elektrikal dan elektronik (E&E), ladang solar dan tenaga boleh diperbaharui sehinggalah kepada semikonduktor.
“Dengan cadangan pengambilalihan ini, BSLCorp dapat memperluaskan penglibatannya dalam industri semikonduktor. Ini merupakan sebahagian daripada strategi menggiatkan semula BSLCorp untuk mempercepatkan penglibatan kami di dalam bidang semikonduktor.
“Segmen semikonduktor akan membentuk tonggak pertumbuhan baharu buat BSLCorp dan melengkapkan operasi semasa ketika BSLCorp bakal ambil alih syarikat semikonduktor Singapura, SD Unify kumpulan beralih kepada sebuah syarikat Perkhidmatan Pengeluar Elektronik (EMS),” katanya dalam satu kenyataan.
MoU itu berkuatkuasa selama tiga bulan dan kedua-dua pihak dijangka menandatangani perjanjian muktamad dalam tempoh berkenaan.
Menurut kumpulan, cadangan pengambilalihan itu juga dijangka bersesuaian dengan pengumumannya pada Jumaat lalu bagi cadangan untuk penempatan saham persendirian untuk menambah baik dan mengembangkan kapasiti pembuatan semikonduktor yang sedia ada.
“Buat masa ini, tempahan BSLCorp tinggi ekoran jumlah tunggakan yang banyak daripada pelanggan dan BSLCorp telah berjaya mencatatkan keuntungan selepas cukai untuk empat suku tahun berturut-turut setakat 31 Mei 2021,” tambah Brian Hoo.
Sumber: Dagang News