FDI dijangka kembali ke paras sebelum pandemik
14 Sep 2021
Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia diunjur kembali ke paras sebelum pandemik pada 2019 selepas mencatatkan prestasi amat memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini apabila meningkat sebanyak 223.1 peratus tahun ke tahun.
Profesor Madya Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata strategi kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi, program vaksinasi yang berjaya, serta komitmen untuk menyediakan peruntukan bagi pembangunan dan perbelanjaan fiskal bagi tahun ini dan tahun-tahun seterusnya memberikan petanda baik kepada keyakinan kepada pelabur.
Bagaimanapun, katanya kerajaan juga perlu menarik lebih banyak pelaburan dalam teknologi canggih bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja mahir Malaysia dan bukan sebaliknya terus bergantung kepada pekerja asing.
“FDI juga perlu memberi manfaat kepada negara bukan hanya dari segi menyediakan prasarana tetapi pindahan pengetahuan dan teknologi, menambah kemahiran pekerja tempatan dan majoriti pelaburan yang kembali itu dilaburkan semula ke dalam negara, daripada disalurkan ke luar negara dalam bentuk dividen,” katanya kepada Bernama.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpandangan Malaysia sentiasa memiliki nilai tersendiri kepada pelabur asing.
“Sebagai permulaan, kita ada prasarana yang baik seperti pelabuhan, lapangan terbang, lebuh raya, telekomunikasi, elektrik, tenaga kerja mahir dan kerajaan yang pro-perniagaan sama ada di peringkat persekutuan atau di peringkat negeri.
“Dari segi sosial, kita memiliki masyarakat majmuk dan budaya yang pelbagai yang memudahkan pelabur asing untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran tempatan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, penularan pandemik COVID-19 menjejaskan pergerakan manusia dan seterusnya operasi perniagaan.
Menurutnya, meskipun prosedur operasi standard (SOP) penting bagi membendung pandemik itu, ia juga memberi kesan buruk kepada produktiviti, mencetuskan ketidaktentuan yang membawa kepada pengelakan risiko.
Bagi penggubalan dasar, kerajaan sangat proaktif dan pantas memberi bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan yang membantu pemulihan ekonomi walaupun ia baru di peringkat awal, katanya.
“Apa yang lebih penting, program vaksinasi berjalan dengan sangat lancar dan setakat ini, kita telah menyaksikan lebih banyak negeri beralih ke fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang seterusnya.
“Oleh itu aktiviti ekonomi dijangka lebih rancak pada bulan September dan pada suku akhir tahun ini,” kata Afzanizam.
Selain itu, pelancaran Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) pada akhir bulan ini akan membantu menyediakan landasan bagi pembangunan jangka sederhana yang akan menyokong pemulihan ekonomi.
“Jika rancangan itu dapat dilaksanakan dengan efektif, ia mungkin boleh menjadi faktor pelaris bagi Malaysia untuk menarik FDI ke negara ini,” katanya.
Ketua Ahli Ekonomi IQI Juwai, Shan Saeed, berkata angka perdagangan Malaysia memberi isyarat yang baik kepada pelabur asing yang melihat negara daripada perspektif jangka panjang.
“Prestasi yang amat memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini merupakan petunjuk bahawa prospek ekonomi kekal berada di hala tuju yang tepat dan kerajaan sedang melaksanakan dasar yang tepat untuk memacu kestabilan ekonomi.
“FDI biasanya masuk ke negara apabila penduduk tempatan optimis dan yakin terhadap negaranya,” katanya.
Shan juga berkata, peningkatan di bursa tempatan ketika ini juga merupakan isyarat jelas bahawa pelabur asing semakin yakin terhadap prospek ekonomi negara, berdasarkan kepada kestabilan makroekonomi negara, kadar vaksinasi yang pantas dan juga fokus utama kerajaan untuk memperkukuh ekonomi.
“Bagi tempoh dua hingga empat suku akan datang, kami yakin momentum ekonomi akan mencatat peningkatan pada peringkat makro.
“Kerajaan Malaysia benar-benar komited untuk mengekalkan momentum ekonomi bagi meraih FDI yang lebih tinggi dan pelaburan portfolio pada separuh kedua kerana keyakinan pelabur global adalah tinggi bagi jangka masa panjang.
“Mereka berhak mendapat pujian bagi kedudukan sekarang. Prestasi sangat baik dan kerajaan telah melakukan tugas yang cemerlang apabila kita mengambil kira cabaran yang luar biasa pada masa ini,” katanya.
Sumber: Bernama