PMI pembuatan Malaysia meningkat kepada 52.3 pada November — IHS Markit
01 Dis 2021
Sektor pembuatan Malaysia terus mencatat peningkatan pada November 2021 didorong oleh pertumbuhan pengeluaran serta tempahan baharu, demikian menurut data terkini IHS Markit.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit — petunjuk komposit satu angka bagi prestasi pembuatan, telah meningkat kepada 52.3 daripada 52.2 pada Oktober ketika pengilang terus mencatat pemulihan operasi bagi bulan kedua berturut-turut.
“Berikutan pemulihan permintaan, syarikat-syarikat terbabit berkata keadaan itu meningkatkan tekanan ke atas kapasiti yang menyebabkan tahap pekerjaan kembali ke paras pengembangan. Walaupun kecil, tetapi ini merupakan perkembangan (positif) yang pertama kali sejak Mac lepas,” kata IHS Markit.
Firma data itu menyifatkan angka terbaharu itu sebagai membuktikan bahawa pengeluaran perindustrian telah meningkat pada tempoh suku keempat setakat ini dan berkemungkinan besar turut memberi sumbangan positif terhadap pertumbuhan ekonomi pada akhir 2021.
Mengulas perkembangan itu, Ketua Ahli Ekonomi Perniagaan Chris Williamson berkata biarpun pengeluar menyambut baik pemulihan permintaan itu, aspek pengeluaran sebaliknya masih dikekang oleh masalah kekurangan bekalan yang ketara.
Menurutnya, ini menyebabkan jumlah tempahan yang tidak dapat disiapkan telah meningkat selain isu lonjakan harga apabila permintaan melebihi penawaran.
“Namun, apa yang menggalakkan adalah syarikat-syarikat semakin optimis bahawa masalah pengeluaran ini dijangka selesai dalam bulan-bulan akan datang.
“Ini sekali gus melonjakkan prospek bagi tahun mendatang yang merupakan antara yang tertinggi sejak bermulanya pandemik COVID-19. Pada masa sama, ini turut memberi petanda baik bagi membolehkan momentum pemulihan dapat berterusan ke arah 2022,” katanya.
Bagi kemajuan masa depan, IHS Markit berkata kalangan pengeluar turut optimis terhadap kemampuan pengeluaran masing-masing pada tahun-tahun akan datang.
Malah, katanya, tahap sentimen itu adalah amat memberangsangkan dan yang tertinggi pernah dicatatkan sejak April lepas.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan berasingan, IHS Markit berkata sektor pembuatan ASEAN kekal mencatat pengembangan pada November walaupun PMI tersebut susut kepada 52.3 berbanding 53.6 pada Oktober.
Bagaimanapun, ia menyifatkan angka tersebut sebagai petunjuk persekitaran pembuatan ASEAN yang meningkat dan terpantas pernah dicatatkan.
“Kedua-dua aspek pengeluaran dan tempahan baharu terus meningkat dengan kadar pertumbuhannya terus menghampiri paras kemuncak manakala tindakan syarikat mengurangkan kerja pula di paras terendah dalam tempoh lima bulan,” katanya.
Indonesia mencatat tahap terpantas dengan PMI pada 53.9 dan diikuti Malaysia (52.3) manakala Vietnam, Filipina dan Singapura (52.2) selain Thailand (50.6) dan Myanmar (50.0).
Ketika mengulas prestasi itu, ahli ekonomi Lewis Cooper berkata PMI itu kekal melebihi paras 50.0 yang menjadi satu lagi paparan peningkatan persekitaran pembuatan, dipacu oleh kenaikan pengeluaran kilang dengan kadar pertumbuhan pengeluaran mencatat penyusutan kecil berbanding rekod hasil tinjauan pada Oktober.
“Secara keseluruhannya, data terbaharu itu memberi sedikit petunjuk yang positif dengan sektor pembuatan ASEAN terus mencatat pemulihan manakala tahap pertumbuhan dan kerja-kerja baharu hampir mencecah paras kemuncaknya,” katanya.
Sumber: Bernama