NS BlueScope bina ladang solar terbesar syarikat di Kapar, Selangor - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NS BlueScope bina ladang solar terbesar syarikat di Kapar, Selangor

NS BlueScope bina ladang solar terbesar syarikat di Kapar, Selangor

16 Dis 2021

NS BlueScope Malaysia telah memulakan usaha pembinaan ladang solar terbaharu dan terbesar syarikat dengan kapasiti penjanaan tenaga untuk 1,678 buah rumah yang melibatkan pelaburan awal sebanyak RM16 juta.

Ladang solar NS BlueScope SunField dengan keluasan 33,930 meter persegi di Kapar, Selangor, itu akan dilengkapkan dengan sejumlah 9,629 panel fotovoltan dan dijangka siap menjelang Mei 2022.

NS Bluescope merupakan pengeluar keluli bersalut.

Presiden NS BlueScope Malaysia Koh Boon Hong berkata ladang solar tersebut mampu menjana tenaga pada kapasiti sehingga 7,007,364 kilowatt jam (kWj) setahun.

“Mengambil kira usaha untuk mendapatkan keluli yang kukuh, kami kini dapat memperkenalkan satu penyelesaian yang berdaya tahan serta mampu meneruskan kelangsungan penjanaan tenaga bersih bagi tempoh sekurang-kurangnya 25 tahun,” katanya pada majlis pecah tanah NS BlueScope SunField di sini, hari ini.

Menurut Koh, kemudahan solar itu juga dapat membantu mengurangkan sejumlah 4,477 tan pelepasan karbon setahun berbanding menggunakan bahan api fosil atau secara perbandingan menyamai dengan pengurangan 29,430 kereta penumpang atau menanam 42,033 pokok.

Kemudahan itu hanya melengkapkan lagi inisiatif lain syarikat seperti penggunaan lampu jalan jenis LED, penuaian air hujan, rawatan air sisa dan penjanaan semula pengoksidasi haba terma (RTO).

Pengunaan ladang solar itu akan turut membolehkan syarikat itu secara kolektif mengurangkan pelepasan rumah hijau sebanyak 23.9 peratus.

Malah, dengan menjadikan 2018 sebagai asas, ini dijangka membantu syarikat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

“Terdapat banyak perancangan besar lain untuk membolehkan kami mencapai sasaran penyahkarbonan, termasuk memperkenalkan pejabat hijau pintar, stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), kitaran semula air, kenderaan forklift EV dan sebagainya,” katanya.

NS BlueScope Malaysia adalah sebahagian daripada BlueScope Steel Ltd Australia, antara pengeluar terbesar dunia yang tersenarai Bursa Saham Australia bagi penghasilan produk pembinaan keluli salutan metalik yang premium dan keluli bercat.

Syarikat itu diperkukuh oleh kewujudan rangkaiannya di peringkat global dengan lebih 100 kemudahan atau kilang di 18 negara selain lebih 14,000 kakitangan di serata dunia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon