Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus tahun hadapan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus tahun hadapan

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus tahun hadapan

21 Dis 2021

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus tahun hadapan disokong pemulihan permintaan luaran dan domestik, demikian menurut edisi terkini World Bank Malaysia Economic Monitor: Staying Afloat.

Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiame Diop, berkata namun begitu unjuran tahun hadapan itu kekal diselubungi beberapa risiko penurunan termasuk varian baharu COVID-19, pertumbuhan global dan serantau yang lemah daripada jangkaan.

“Ruang fiskal yang terhad kekal menjadi cabaran kepada Malaysia. Hasil kerajaan Persekutuan yang merosot sejak 2013 diunjurkan mencecah 14.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022.

“Perbelanjaan operasi yang kekal tinggi membabitkan emolumen, caj persaraan dan bayaran hutang meningkat dengan ketara dari semasa ke semasa dan dijangka merangkumi dua pertiga daripada pendapatan kerajaan Persekutuan tahun depan sekali gus meningkatkan ketegaran fiskal serta menjejaskan perbelanjaan,” katanya pada pelancaran edisi terkini World Bank Malaysia Economic Monitor: Staying Afloat

Laporan pemantauan ekonomi Malaysia itu dilancarkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia itu selaras dengan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022 dengan KDNK negara dijangka dipacu pembukaan semula aktiviti ekonomi dan langkah pembendungan penularan COVID-19 akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut bank pelaburan dan firma penyelidik tempatan, prestasi ekonomi Malaysia dijangka lebih baik dengan berkembang antara 5.2 peratus hingga 6.0 peratus pada 2022 didorong oleh pemulihan berterusan dalam ekonomi domestik serta pertumbuhan berterusan permintaan luaran.

Prospek lebih baik ekonomi negara diselubungi ancaman penularan Omicron, varian terbaharu COVID-19.

Moody’s Analytics dan Fitch Ratings pula, masing-masing mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus dan 6.3 peratus pada 2022.

Sementara itu, Bank Dunia turut menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 3.3 peratus tahun ini.

Diop berkata, pandemik telah mengekang lagi ruang fiskal Malaysia yang sudah terhad di mana hasil kerajaan dijangka menurun dan perbelanjaan kekal tinggi.

“Justeru, kerajaan harus membina semula penampan fiskal dengan mengumpul lebih banyak hasil dan berbelanja dengan berhemah,” katanya.

Beliau menjelaskan, Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang dicadangkan pada tahun depan boleh membuka jalan kepada konsolidasi fiskal jangka sederhana.

Bagaimanapun, katanya, dalam jangka pendek, menambah baik sasaran perbelanjaan sosial dan pada masa yang sama menghapuskan subsidi umum dan regresif secara berperingkat, seperti subsidi bahan api, akan membantu meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan.

“Perbelanjaan sosial yang disasarkan harus kekal sebagai keutamaan jangka pendek berikutan tahap ketidakpastian yang tinggi terhadap prospek kesihatan dan ekonomi menjelang 2022,” katanya.

Sementara itu, pandemik telah memburukkan lagi cabaran sedia ada yang dihadapi isi rumah Malaysia yang miskin dan rentan.

Menurut tinjauan Telefon Berfrekuensi Tinggi (HiFy) yang dilaksanakan Bank Dunia di Malaysia, wabak itu telah memburukkan banyak aspek sosio-ekonomi isi rumah, berpotensi menambah ketidaksamaan jangka panjang, selain memperlahankan pertumbuhan masa depan.

Menurut Bank Dunia, pekerja berpendapatan rendah, kurang berpendidikan dan lebih muda berkemungkinan besar menghadapi kehilangan pekerjaan semasa wabak itu.

“Pekerja tidak formal juga menjadi antara yang paling teruk terjejas dan lebih terdedah kepada kehilangan pendapatan.

“Walaupun menerima bantuan kerajaan, isi rumah masih terpaksa menggunakan simpanan peribadi dan mengurangkan penggunaan untuk menghadapi cabaran kewangan,” kata Bank Dunia.

Tinjauan itu juga mendedahkan jurang pembelajaran antara kanak-kanak daripada kumpulan sosio-ekonomi berbeza yang wujud sebelum wabak itu.

Penutupan sekolah akibat sekatan pergerakan telah melebarkan jurang itu apabila isi rumah berpendapatan rendah bergelut dengan sumber dan sokongan untuk anak-anak mereka menjalani pembelajaran di rumah.

“Untuk memastikan Malaysia memenuhi potensi pertumbuhannya pada tahun-tahun akan datang, ia adalah masa yang sangat kritikal dan sesuai untuk negara menangani jurang yang sedia ada serta cabaran yang baru muncul daripada krisis.

“Dalam jangka pendek, tumpuan harus diberikan kepada mengekalkan sokongan kewangan untuk golongan miskin dan terdedah, mencapai keterangkuman yang lebih besar, termasuk memudahkan pembelajaran untuk semua kanak-kanak.

“Dalam jangka panjang, langkah harus bertujuan untuk menangani kelemahan dalam sistem perlindungan sosial dan pendidikan semasa untuk menjadikannya lebih berkesan dalam menangani kemiskinan dan ketidaksamaan serta lebih responsif kepada kejutan,” tambah Bank Dunia.

Menurut Bank Dunia, adalah perlu untuk mengurus kesan kekal pandemik terhadap mata pencarian, kesejahteraan dan pembangunan modal insan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon