Sektor automotif diunjur pulih tahun depan
22 Dis 2021
Sektor automotif negara dijangka menyaksikan pemulihan lebih kukuh pada tahun depan dengan sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat 19 peratus tahun ke tahun kepada 600,000 unit daripada sasaran 505,000 unit yang diunjurkan bagi tahun ini, kata Kenanga Investment Bank Bhd.
Unjuran TIV sebanyak 505,000 unit itu mewakili penguncupan lima peratus daripada jumlah jualan 2020 yang berjumlah 529,434 unit.
Kenanga Investment yang mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas sektor automotif, juga menjangkakan sektor itu mencatat pemulihan memberangsangkan menerusi pembukaan semula aktiviti ekonomi, didorong oleh pengecualian cukai jualan 100 peratus ke atas kenderaan penumpang dengan pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus bagi kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) termasuk model kenderaan utiliti sukan dan MPV selama enam bulan sehingga 30 Jun 2022.
“Ini juga seiring dengan pertumbuhan angka tempahan yang tertunggak bagi model-model popular dengan sasaran TIV kami bagi 2021 sebanyak 505,000 unit (-5 peratus) iaitu mengatasi sasaran TIV oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) pada 500,000 unit.
“Selain itu, kami menjangkakan pemulihan lebih kukuh bagi sektor ini dengan sasaran TIV bagi 2022 sebanyak 600,000 unit (+19 peratus) yang seiring dengan sasaran TIV MAA sebanyak 605,000 unit (+21 peratus),” kata bank pelaburan itu dalam nota tinjauannya, semalam.
Kenanga berkata, pertumbuhan TIV 2022 akan turut dipacu oleh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan pada separuh pertama bagi tahun kalendar 2022, jangkaan pemulihan ekonomi serta dengan andaian imuniti kelompok dapat dicapai, sekali gus membawa kepada kelonggaran prosedur operasi standard bagi menggerakkan semula aktiviti pengembaraan domestik.
Menurutnya, kelonggaran sekatan itu selain pemulihan bekalan cip semikonduktor juga dijangka mampu meningkatkan permintaan ke atas kenderaan penumpang, terutama bagi model keluaran tempatan.
“Namun, bagi model-model kenderaan tertentu, pemulihan pengeluaran kereta ini akan terus dikekang oleh isu kekurangan bekalan cip semikonduktor,” katanya.
Sumber: Harian Metro