Kepantasan sediakan keperluan pelabur faktor Kedah terima pelaburan tinggi
25 Dis 2021
Kepantasan dalam menyediakan keperluan pihak pelabur merupakan antara faktor yang menjadikan Kedah sebagai negeri yang menerima pelaburan tertinggi di negara ini bagi tempoh Januari hingga September 2021.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata selain itu kestabilan politik dan lokasi strategik juga menjadi pendorong untuk pelabur menanam modal di negeri ini.
“Saya sangat gembira dengan pencapaian itu dan langkah memperkenalkan Permit Pembinaan Ekspres (E10) ternyata memberi manfaat kepada pelabur terutama dari segi kepantasan proses untuk membenarkan mereka (pelabur) mula beroperasi.
“Sebelum ini, pelabur perlu menunggu tiga atau empat tahun sebelum dapat beroperasi sepenuhnya tetapi dengan E10, tempoh menjadi singkat dan hanya 10 bulan saja diperlukan,” katanya pada majlis pelepasan misi khidmat masyarakat dan bantuan banjir kerajaan Kedah ke Selangor di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) semalam bahawa Kedah menjadi negeri yang menerima pelaburan tertinggi di Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2021 dengan nilai keseluruhan RM57.1 bilion.
Pencapaian Kedah itu jauh meninggalkan Sarawak di kedudukan kedua yang menerima nilai pelaburan RM23.9 bilion dan Kuala Lumpur (RM22.5 bilion).
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yakin lebih banyak pelabur akan memasuki Kedah pada masa akan datang dan seterusnya membawa limpahan ekonomi kepada negeri.
Sumber: Bernama