SK Group sedia tambah pelaburan di Malaysia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


SK Group sedia tambah pelaburan di Malaysia

SK Group sedia tambah pelaburan di Malaysia

04 Jan 2022

SK Group, konglomerat kedua terbesar di Korea Selatan merancang untuk terus menjadikan Malaysia destinasi yang penting selepas menyuntik pelaburan berjumlah lebih AS$700 juta (RM2.9 bilion) tahun lalu.

Firma yang mempunyai pemodalan pasaran AS$177 bilion (RM738 bilion) itu turut menyertai konsortium BigPay untuk memohon lesen bank digital di negara ini.

Menurut SK Group, ia melihat peluang yang semakin meningkat dalam perbankan digital sebagai satu cara untuk mengubah cara sebahagian besar penduduk mengakses perkhidmatan kewangan yang tidak mereka miliki sebelum ini.

“SK Group membuktikan pengalaman komersial dalam perbankan digital yang berjaya dilaksanakan di Korea Selatan seperti Penarafan Kredit Alternatif dan analisis data berasaskan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Perwakilan SK Malaysia, Jung Kyu Kim, berkata syarikat itu yakin dengan pengalamannya dalam perkhidmatan teknologi kewangan (fintech), ia akan menyumbang kepada kejayaan ekosistem bank digital di negara ini dan terus berkembang ke peringkat rantau ASEAN.

“Ketika kumpulan berkembang pesat ke dalam industri baharu di peringkat global terutama dalam sektor yang memanfaatkan alam sekitar dan kesihatan manusia, SK Group terus mencari peluang pelaburan selanjutnya di Malaysia.

“Secara khususnya, SK Group berminat untuk meneroka pasaran dengan rakan kongsi yang berfikiran sama dalam sektor kenderaan elektrik (EV), pendigitalan dan alam sekitar yang semakin berkembang bagi memacu industri Malaysia ke peringkat seterusnya,” katanya.

Januari tahun lalu, SK Nexilis mengumumkan perbelanjaan modal sebanyak RM2.3 bilion (AS$553 juta) bagi menubuhkan kemudahan pembuatan keranjang tembaga di Sabah, yang akan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai EV bagi SK Group.

Baru-baru ini, anak syarikatnya, SoCar Malaysia, yang juga syarikat perkongsian kenderaan terbesar di negara ini mengumpul dana lebih AS$55 juta (RM229.3 juta) daripada EastBridge Partners dan Sime Darby Bhd bagi memacu pengembangan dan membina platform EV di Malaysia, dengan rancangan untuk menggunakan ratusan EV dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain itu, pada Ogos lalu, SK Group menyuntik pelaburan strategik sehingga AS$100 juta (RM416.9 juta) ke dalam BigPay, peneraju fintech serantau berpangkalan di Malaysia.

Pelaburan itu membolehkannya mendapatkan akses kepada ekosistem pengguna dan mikro-PKS (perusahaan kecil dan sederhana) yang besar dengan AirAsia, sekali gus memainkan peranan penting dalam pengagihan perkhidmatan kewangan, selain membantu segmen penduduk yang kurang mendapat perhatian.

Ia akan memanfaatkan ketersambungan dan rangkaian AirAsia, digabungkan dengan cabang logistik syarikat penerbangan itu, Teleport.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon