Ninja Van perkenal gudang terbesar syarikat - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ninja Van perkenal gudang terbesar syarikat

Ninja Van perkenal gudang terbesar syarikat

11 Jan 2022

Ninja Van Malaysia, antara syarikat logistik ekspres utama di negara ini memperkenalkan gudang terbaharunya di Shah Alam yang merangkumi kawasan seluas 260,000 kaki persegi.

Gudang itu adalah yang terbesarnya setakat ini, sejajar dengan rancangan pengembangan syarikat itu untuk memperkukuh pertumbuhan jumlah bungkusan yang perlu dikendalikan, selain menyokong perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Adzim Halim berkata syarikat itu sentiasa berinovasi dan membangunkan infrastruktur lebih baik bagi meningkatkan kepantasan serta kecekapan.

“Dilengkapi dengan teknologi penyusunan dan peralatan terkini, gudang baharu kami bertepatan dengan rancangan syarikat untuk memberikan penghantaran yang pantas kepada pelanggan. Disebabkan itu juga, kami baru-baru ini memulakan penjadualan operasi tujuh hari di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan pertambahan lebih 80 peratus jumlah kenderaannya, langkah untuk memperkukuh budaya selamat di gudang itu turut menjadi sebahagian penting perniagaan Ninja Van Malaysia.

Sehubungan itu, syarikat mengambil langkah yang konkrit untuk memastikan pekerja mempunyai persekitaran kerja yang selamat dan sentiasa berusaha untuk menambah baik tahap keselamatan di tempat kerja.

Sebagai contoh, program induksi kesihatan, keselamatan dan persekitaran dijalankan setiap minggu bagi memastikan semua pekerja dilengkapi dengan pengetahuan untuk mengendalikan sebarang kes kecemasan di tempat kerja.

Ninja Van Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan kukuh jumlah bungkusan yang dikendalikan sejak penubuhannya pada 2015.

Tahun lalu, syarikat mencatatkan kenaikan 98 peratus jumlah bungkusan berbanding 2020 berikutan pertumbuhan pesat e-dagang oleh peniaga dan pelanggan.

Gudang baharu itu menampilkan pelbagai peralatan teknologi inovatif yang berupaya memproses 400,000 bungkusan setiap hari dari seluruh negara, sejajar dengan sasaran Ninja Van Malaysia untuk meningkatkan tahap kecemerlangan operasinya.

Jumlah bungkusan boleh meningkat sehingga dua kali ganda semasa tempoh kemuncak.

Bagi menampung permintaan e-dagang, Ninja Van Malaysia melabur dalam peralatan teknologi canggih seperti mesin pengimbas dan penimbang dimensi (DWS) yang digunakan bagi membuat imbasan dan kiraan tepat berat serta dimensi bungkusan, selain penghantar automatik.

Bagi proses penyusunan, pekerja gudang itu menggunakan pengimbas mudah alih pelbagai guna.

Adzim berkata, gudang syarikat ketika ini mengendalikan mod hibrid secara manual-automatik, yang turut mencerminkan Dasar 4IR Nasional dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia, dengan teknologi disediakan boleh membina proses yang lebih lancar dan cekap.

“Dengan mesin bekerja bersama kakitangan, kami berupaya membina proses yang lebih lancar dan cekap, memastikan supaya bungkusan dapat dihantar kepada pelanggan tepat pada masanya,” katanya.

Ninja Van Malaysia turut memperkenalkan produk dan proses awan baharu bagi menyesaikan isu-isu berkaitan bungkusan dengan lebih cepat.

Satu daripadanya adalah NinjaChat, platform berasaskan pesanan sosial dengan fungsi sembang masa sebenar yang menyediakan kaedah mudah serta pantas kepada pelanggan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan bungkusan mereka.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon