Permintaan getah dijangka terus meningkat dipacu kesedaran pasca pandemik – MRC
22 Jan 2022
Aliran permintaan terhadap getah bagi tahun ini dijangka terus meningkat, didorong oleh kesedaran tinggi pasca pandemik COVID-19 termasuk aspek berkaitan kebersihan, kata Majlis Getah Malaysia (MRC).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Nor Hizwan Ahmad, selain keperluan produk berasaskan getah seperti sarung tangan getah yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan dan luar negara ketika pandemik, kesedaran tinggi mengenai kebersihan juga terus ketara.
“Jika sebelum ini, sarung tangan getah banyak digunakan di peringkat sektor kesihatan, namun tempoh pasca pandemik COVID-19 turut menyebabkan bidang-bidang lain seperti penyediaan makanan dan pembersihan menitikberatkan faktor kebersihan itu,” katanya dalam rancangan Darah Muda bertajuk ‘Majlis Getah Malaysia Perkasa Agenda Ekonomi Belia’ yang disiarkan di Bernama TV pada Jumaat.
Mengulas mengenai cabaran utama dalam memperkasa industri getah, Nor Hizwan berkata isu-isu seperti peranan orang tengah menyebabkan industri getah dilihat tidak menarik biarpun hakikatnya ia merupakan komoditi yang mendatangkan hasil.
“Orang tengah misalnya memberi kesan langsung ke atas pendapatan pekebun kecil. Cabaran lain adalah kurangnya penglibatan usahawan kecil dalam rantaian nilai yang menyebabkan mereka tidak dapat merasai keuntungan yang diraih oleh syarikat-syarikat besar terutama ketika permintaan melambung tinggi,” katanya.
Nor Hizwan berkata, kekurangan penglibatan langsung di peringkat rantaian nilai antarabangsa juga menjejaskan daya saing Malaysia di peringkat global.
“Oleh itu, kita berharap lebih banyak golongan muda akan turut sama melibatkan diri dalam bidang ini. Malah, kita turut menyediakan biasiswa dan geran inovasi dan teknologi dalam usaha menarik penglibatan mereka,” katanya.
Source: Bernama