Rhone Ma buka kilang baharu di Nilai
26 Jan 2022
Syarikat pengeluar nutrisi dan kesihatan haiwan, Rhone Ma Holdings Bhd (Rhone Ma) membuka kilang baharu dengan kos RM40 juta di kawasan perindustrian Nilai Utama, di sini.
Pengarah Urusannya, Dr Lim Ban Keong berkata kilang yang mula beroperasi April tahun lalu itu bukan sahaja menghasilkan produk kesihatan dan nutrisi haiwan berkualiti tinggi dan selamat untuk pasaran tempatan malah turut dieksport ke negara rantau Asia Tenggara termasuk Thailand, Indonesia dan Myanmar.
“Kami juga sedang dalam proses memohon lesen Amalan Pengilangan Baik (GMP) daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang dijangka akan diterima dalam suku kedua 2022.
“Sejak mula beroperasi, kilang ini telah mencapai lebih 35 peratus pengeluaran. Sasaran kami adalah untuk mencapai 100 peratus tahun depan sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan empat kali ganda atau 2,500 tan metrik daripada yang sedia ada.
“Kilang pertama Rhone Ma adalah di Petaling Jaya, Selangor, ia sudah pun mempunyai lesen GMP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian kilang itu yang dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut hadir, Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.
Dalam pada itu, Ban Keong berkata produk kesihatan dan nutrisi haiwan yang dihasilkan di kilangnya menggunakan jenama Rhone Ma sendiri dengan Thailand adalah pasaran terbesar yang menyumbang kira-kira 48 peratus kepada jumlah pendapatan eksport mereka tahun lepas.
“Kami juga berhasrat untuk pasarkan produk ini di Taiwan dan China. Sambutan baik yang diterima daripada pasaran luar negara membuktikan bahawa produk buatan Malaysia adalah berkualiti tinggi, setanding dengan produk antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata Rhone Ma membuat keputusan tepat memilih Negeri Sembilan sebagai tapak kilang kerana lokasi strategiknya yang berdekatan dengan Kuala Lumpur, Lembah Klang serta Putrajaya yang juga pusat pentadbiran negara.
Lokasi berkenaan juga diselenggara dengan baik dan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur seperti rangkaian jalan raya yang sangat baik, bekalan elektrik, air dan infrastruktur telekomunikasi yang berdaya saing sekali gus membantu Rhone Ma menyediakan penyelesaian kesihatan haiwan bersepadu yang terbaik, katanya.
Beliau berkata, penubuhan kilang itu juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan melengkapkan mereka dengan kemahiran daya saing yang berguna untuk masa depan.
“Saya difahamkan sejak kilang ini mula beroperasi pada April 2021, syarikat ini menggajikan 100 peratus penduduk tempatan. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.
Sumber: Bernama