Nextgreen meterai MoU dengan kerajaan Kelantan bangun projek bernilai RM2.23 bilion
26 Jan 2022
Nextgreen Global Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Kelantan untuk membangunkan projek mampan di negeri itu yang bernilai kira-kira RM2.23 bilion.
Nextgreen dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata penilaian itu tertakluk kepada penilaian teknikal, kewangan dan sijil oleh Jawatankuasa Pelaburan Sehenti negeri atau mana-mana jawatankuasa yang dipersetujui oleh pihak berkuasa negeri.
Nextgreen merupakan syarikat pegangan pelaburan yang terlibat terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan pengurusan.
Syarikat itu akan melabur dalam kos pengurusan, operasi dan pengeluaran hasil bagi pembangunan pusat kutipan dan pemprosesan minyak sawit, perladangan hutan, kilang palpa, kilang makanan haiwan dan kilang baja.
MoU tersebut adalah untuk menjalin kerjasama menerusi usaha sama dengan syarikat berkaitan negeri Kelantan atau mana-mana pihak yang ditentukan oleh kerajaan negeri.
Ia berkuat kuasa bagi tempoh setahun dan semua komitmen yang diberikan adalah sah bagi tempoh tertakluk kepada kajian semula dan pengubahsuaian yang dipersetujui bersama.
Sumber: Bernama