ECERDC sasar tarik RM14 bilion pelaburan komited, merealisasi RM7 bilion pelaburan tahun ini
01 Feb 2022
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk menarik pelaburan komited berjumlah RM14 bilion dan pelaburan yang direalisasikan bernilai RM7 bilion untuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Baidzawi Che Mat berkata sasaran itu mampu dicapai menerusi insentif-insentif cukai yang diumumkan kerajaan selain momentum berterusan kemasukan pelaburan yang berjaya dicapai pada tahun lepas.
Pada tahun 2021, ECERDC berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM13.4 bilion untuk ECER, melebihi sasaran awalnya sebanyak RM12 bilion, dan merealisasikan pelaburan bernilai RM4.7 bilion di tengah-tengah COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pencapaian memberangsangkan tahun lepas mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia dan kami yakin pada tahun 2022 (dengan pelonggaran sekatan), pelabur akan datang kerana pergerakan lebih senang … mereka boleh bergerak ke sana dan sini.
“Kami yakin RM14 bilion itu mampu dicapai dengan kesungguhan serta iltizam yang tinggi untuk mempromosikan rantau ini, kami yakin pelabur akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas mengenai nisbah unjuran kemasukan, Baidzawi berkata ECERDC menyasarkan untuk mencapai nisbah 50:50 antara pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) bagi tahun 2022.
“Buat masa sekarang pelabur-pelabur dari luar negara tidak boleh datang ke Malaysia berikutan kekangan rentas sempadan tetapi ia tidak menahan kami (daripada menarik pelaburan) sebab kami ada menjalankan promosi menerusi webinar dan sebagainya. Justeru itu, kami yakin akan dapat lebih banyak FDI pada tahun 2022,” jelas beliau.
Antara pelabur asing yang melabur di ECER adalah dari China, Jepun, Eropah, Korea Selatan, India, dan Timur Tengah, katanya.
Baidzawi menambah ECERDC telah memanfaatkan insentif cukai istimewa yang dilanjutkan sehingga akhir tahun 2022 bagi mempromosikan ECER sebagai sebuah destinasi pelaburan dalam usaha mengembalikan momentum pelaburan.
Selain itu, sasaran kemasukan pelaburan di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) yang dilaksanakan sejak tahun 2018, turut menjadi penanda aras ECERDC bagi menjamin kemasukan pelaburan berkualiti di wilayah berkenaan, katanya.
Di bawah EMP 2.0, ECERDC telah menetapkan sasaran untuk mencapai pelaburan swasta sebanyak RM70 bilion menjelang tahun 2025 iaitu RM50 bilion adalah untuk sektor pembuatan, RM15 bilion (sektor pelancongan), RM3 bilion (sektor minyak dan gas serta petrokimia) manakala RM2 bilion untuk sektor pertanian.
“Fokus kami ialah pelaburan berkualiti yang boleh menjana pekerjaan dengan pendapatan yang lebih tinggi.
“Di ECERDC, kami ada taman perindustrian yang telah sedia untuk menerima pelabur, jadi, promosi akan lebih mudah dengan pendekatan ini,” jelas beliau.
Beliau seterusnya berkata sasaran EMP 2.0 dijangka mampu diperoleh terutama dengan adanya projek-projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan bagi menambah baik kesalinghubungan di wilayah ECER seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Jalan Central Spine (CSR).
Baidzawi berkata setakat ini, ECERDC telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM27.7 bilion.
ECERDC adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan pelan induk ECER. Wilayah ECER meliputi negeri Terengganu, Kelantan, Pahang dan daerah Mersing di Johor.
Sumber: Bernama