Kerajaan segerakan dos penggalak untuk pekerja pembuatan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan segerakan dos penggalak untuk pekerja pembuatan

Kerajaan segerakan dos penggalak untuk pekerja pembuatan

08 Feb 2022

Kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan tiada lagi penutupan aktiviti ekonomi, termasuk mempercepatkan pemberian suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada seluruh rakyat Malaysia terutama pekerja dalam sektor pembuatan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kesan penutupan aktiviti kepada ekonomi negara adalah sangat besar termasuk memberi gangguan kepada rantaian bekalan sektor pembuatan.

Justeru, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sudah meminta MITI untuk melaksanakan libat urus pada kadar segera dengan peserta industri bagi mencari langkah mempercepatkan pemberian suntikan dos penggalak.

“Melalui Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang dilaksanakan MITI tahun lalu, seramai dua juta pekerja sektor pembuatan sudah mendapat suntikan lengkap vaksin COVID-19.

“Namun, bagi suntikan dos penggalak, jumlahnya masih tidak banyak dengan hanya 53 peratus penduduk dewasa mendapat suntikan itu.

“Disebabkan itu, kita akan memberi perhatian dalam mempercepatkan lagi pemberian dos penggalak kepada pekerja sektor pembuatan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Genetec Technology Bhd di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pekerja sektor pembuatan terdedah pada risiko yang tinggi kerana mereka perlu hadir untuk melaksanakan pekerjaan berbanding pekerja sektor lain yang boleh melaksanakan kaedah bekerja dari rumah.

Beliau berkata, ia menjadikan mereka tulang belakang kepada ekonomi negara dan dapat memastikan tiada lagi berlakunya gangguan rantaian bekalan.

Katanya, MITI juga menggalakkan peserta industri untuk melaksanakan ujian COVID-19 secara berkala kepada semua pekerja mereka selain mengamalkan persekitaran pekerjaan yang selamat.

Langkah berkenaan, katanya dapat menjamin penerusan operasi sektor pembuatan yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara.

Mengulas mengenai pembukaan kembali sempadan negara, Mohamed Azmin berkata KKM sedang meneliti prosedur yang tepat bagi memastikan pembukaan sempadan negara ini tidak akan menjejaskan kesihatan awam dan pemulihan ekonomi negara.

“Perkara ini sedang diteliti dan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat supaya keputusan dapat diumumkan lebih awal.

“Ini kerana, kita mahu pastikan persediaan dapat dilaksanakan terutama dalam sektor penerbangan, perhotelan dan logistik.

“Kita akan serahkan kepada KKM untuk menentukan tarikh yang terbaik untuk pembukaan semula sempadan negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon