Sektor perkayuan terus berkembang, eksport meningkat 3.1 peratus pada 2021
10 Feb 2022
Industri perkayuan Malaysia terus menunjukkan prestasi yang baik walaupun di sebalik pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi dengan eksport mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus kepada RM22.70 bilion pada 2021 daripada RM22.02 bilion pada tahun sebelumnya.
Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) berkata papan lapis berada di kedudukan teratas daripada segi nilai eksport bersama-sama perabot kayu, kayu gergaji dan pertukang kayu menyumbang lebih separuh daripada jumlah eksport.
‘’Permintaan untuk produk berasaskan kayu Malaysia terutama perabot meningkat pada awal 2020 apabila ramai orang di seluruh dunia mula bekerja dari rumah, ia membawa kepada peningkatan dalam pembinaan, pembaikan dan pengubahsuaian rumah.
“Terdapat lonjakan permintaan untuk papan lapis Malaysia di Jepun dan Amerika Syarikat (AS) pada 2021,” kata Pengerusi MTC Norrida Yusoff dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Langkah pencairan oleh pengeluar utama papan lapis di Jepun menyebabkan peningkatan dalam permintaan, katanya.
Selain itu, beliau berkata eksport perabot kayu Malaysia ke AS yang merupakan pasaran eksport terbesar, kekal sederhana.
Bagaimanapun, Norrida berkata industri perkayuan tempatan masih menghadapi cabaran, antaranya kenaikan caj pengangkutan laut, ketersediaan kontena, kekurangan tenaga kerja dan kekurangan bahan mentah.
“MTC telah memperkenalkan banyak program sejak 2020 untuk membantu industri mengatasi cabaran terutamanya dengan menyediakan insentif, ia termasuk memenuhi keperluan kemajuan teknologi yang membantu meningkatkan penggunaan sumber secara cekap dalam semua aspek selain daripada membayar caj pengangkutan laut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTC Muhtar Suhaili berkata bagi tahun 2022, tujuh inisiatif harus dijayakan MTC akan memberi fokus kepada memulihkan perniagaan dengan menganjurkan beberapa program baharu untuk produk batang kelapa sawit, mewujudkan kerjasama reka bentuk produk dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan melaksanakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk industri perkayuan.
Pelan Hala Tuju MTC yang merangkumi rancangan lima tahun dari tahun 2019 hingga 2023 adalah strateginya untuk mengatasi cabaran berkaitan pandemic serta memastikan kemampanan dan daya maju industri perkayuan Malaysia.
Sumber: Bernama