Kerajaan Pahang meterai perjanjian pelaburan RM5.5 bilion
18 Feb 2022
Kerajaan Pahang hari ini memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM5.5 bilion membabitkan projek di daerah Kuantan, Pekan dan Rompin serta pembangunan aplikasi mudah alih berkaitan pelancongan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pelaburan itu membabitkan sektor janakuasa, pembangunan aplikasi, pelancongan, penternakan dan pengeluaran yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri Pahang.
Beliau berkata, perjanjian tersebut membabitkan badan berkanun negeri dengan syarikat pelabur dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan.
Melalui perjanjian itu, katanya, enam projek pelaburan akan dilaksanakan iaitu Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dengan Ciptaan Gabungan Global Sdn Bhd (Golden Prosperous International Pte Ltd) dari Singapura.
“Pelaburan ini juga berupaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang yang juga inisiatif, perancangan strategik dan komitmen berterusan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, ia membabitkan projek kilang pengeluaran aloi mangan berkeluasan 40 hektar di Gebeng, di sini dengan nilai pelaburan RM1 bilion, PSK dengan Golden Sea Farm (M) Sdn Bhd dari Thailand membabitkan projek Taman Akuakultur Penternakan Udang berkeluasan 64 hektar di Rompin dengan nilai pelaburan RM40 juta, PSK dengan BAF Aqua Sdn Bhd (BAF Pte Ltd) juga dari Thailand membabitkan projek ternakan udang dan ikan berteknologi tinggi berkeluasan 52 hektar di Rompin dengan nilai pelaburan RM105 juta.
“Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan IBN Lovocean Sdn Bhd (South Ocean Development LLP) dari Singapura membabitkan projek pelancongan Rompin Eco Tourism Park berkeluasan 92.4 hektar di sempadan
Rompin-Pekan dengan nilai pelaburan RM90 juta.
“Pahang Go Sdn Bhd dengan M-Trip Sdn Bhd dari China membabitkan projek aplikasi mudah alih bagi pelancongan di Pahang dengan nilai pelaburan RM66 juta.
“TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) dengan Pekan Power Plant Sdn Bhd dari Korea, membabitkan Cadangan Pembangunan Janakuasa Elektrik 1,200MW, berkeluasan 40 hektar di Tanjung Agas, Pekan dengan nilai pelaburan RM4.21 bilion,” katanya.
Wan Rosdy berkata, sepanjang tahun lalu, kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan bernilai RM10.8 billion dan jumlah itu membabitkan RM987 juta daripada pelaburan domestik dan RM9.8 billion daripada pelaburan antarabangsa, manakala bagi tahun 2022, kerajaan negeri menetapkan KPI pelaburan Pahang adalah bernilai RM18 billion.
“KPI ini sememangnya mampu dicapai kerana berdasarkan maklumat terkini, potensi pelaburan di bawah seliaan Unit Antarabangsa ketika ini adalah dianggarkan bernilai RM45.7 bilion.
“Jumlah RM45.7 bilion ini membabitkan 20 projek pelaburan langsung domestik (DDI) dan 42 projek pelaburan langsung asing (FDI). Perincian 62 projek berpotensi ini membabitkan 33 projek dalam pra-rundingan; dua projek dalam rundingan, 18 projek telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan sembilan projek telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA),” katanya.
Beliau berkata, projek berpotensi itu membabitkan pelabur dari 10 negara iaitu China, Singapura, Thailand, Indonesia, Australia, Hong Kong, Switzerland, Perancis, Korea Selatan dan Malaysia sendiri.
“Sesungguhnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha sehabis baik bagi memastikan negeri ini dapat dibangun dan dimajukan secara menyeluruh dan seimbang demi manfaat rakyat.
“Pada masa sama, Kerajaan Pahang juga komited menyediakan persekitaran yang kondusif serta kestabilan politik yang meyakinkan demi menarik minat pelabur untuk mengembangkan perniagaan dan menanam modal di negeri ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian