Menara Bank Rakyat di Coronation Square bakal jadi hab digitalisasi - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Menara Bank Rakyat di Coronation Square bakal jadi hab digitalisasi

Menara Bank Rakyat di Coronation Square bakal jadi hab digitalisasi

18 Feb 2022

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) berhasrat untuk menjadikan Menara Bank Rakyat setinggi 35 tingkat dengan keluasan 550,000 kaki persegi di Coronation Square di sini sebagai hab digitalisasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata langkah itu sekali gus menjadikan kawasan tersebut sebagai hab perniagaan digital merangkumi urusan bank, keusahawanan, perniagaan dan pelbagai urusan digital lain.

“Apabila terdapat digitalisasi, kita tahu bahawa pada masa depan, platform ini akan memainkan peranan yang penting.

“Oleh itu, di kawasan ini dan bangunan ini, kita akan jadikan hab perniagaan digital daripada urusan bank, keusahawanan, perniagaan dan apa jua urusan yang menggunakan digital,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Menara Bank Rakyat di Coronation Square hari ini.

Noh berkata dengan kedudukannya yang strategik bersebelahan dengan Singapura akan menjadi tarikan kepada pelabur asing untuk menjalankan aktiviti perniagaan, seterusnya menjadi pemangkin kepada transformasi bandar raya bertaraf antarabangsa.

“Walaupun sebelum ini tergendala sedikit kerana pandemik COVID-19, saya dijanjikan bahawa projek ini akan siap pada Julai ini.

“Saya tengok sudah 85 peratus siap. Kita harap projek ini bukan sahaja akan menjadi mercu kejayaan Bank Rakyat di Zon Selatan tetapi juga Coronation Square yang akan menjadi mercu kejayaan dan pembangunan yang hebat bagi negeri ini,” katanya.

Noh berkata menara itu juga akan menyaksikan perniagaan digitalisasi yang lebih cekap dan bakal menjadi pusat latihan kepada usahawan.

Katanya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) turut bercadang untuk menempatkan 11 agensinya di Menara Bank Rakyat supaya dapat merancang pembangunan usahawan secara bersama.

Pada 23 Mac 2016, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar merasmikan model Menara Bank Rakyat Johor yang pada awalnya dijangka siap pada 2019.

Coronation Square seluas 2.3 hektar adalah antara Zon Pembangunan Projek Ibrahim International Business District (IIBD).

Coronade Properties Sdn Bhd merupakan pemaju Coronation Square.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon