Projek RM40 bilion di Langkawi mula suku kedua 2022 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Projek RM40 bilion di Langkawi mula suku kedua 2022

Projek RM40 bilion di Langkawi mula suku kedua 2022

10 Mac 2022

Projek The Langkasuka bernilai RM40 bilion di Langkawi semakin hampir dilancarkan secara rasmi dengan majlis pecah tanah dijangka diadakan pada suku kedua 2022.

Pembangunan bercampur yang dibangunkan bersama oleh Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) dan Bin Zayed International LLC (BZI), akan menyaksikan fasa pertama siap dalam tempoh empat tahun akan datang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal, berkata seperti yang diumumkan sebelum ini, kedua-dua pihak sedang giat berusaha menjayakan projek mega terbabit.

“Syarikat usaha sama (JV) kami, Widad BZI Sdn Bhd sedang mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk menyiapkan projek seperti yang dijadualkan.

“Nilai pembangunan kasar (GDV) untuk fasa satu The Langkasuka dianggarkan berjumlah RM4.5 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan BZI Sheikh Midhat Kidwai, berkata pihaknya optimis dengan prospek The Langkasuka ketika dunia sedang menuju ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Katanya, Malaysia dan Pulau Langkawi khususnya, sentiasa mendapat sambutan baik dalam kalangan pengembara perniagaan serta percutian antarabangsa.

“Namun, kami melihat bahawa terdapat ruang untuk pertumbuhan selanjutnya dan oleh itu, BZI bekerjasama dengan WBG untuk meneroka potensi yang besar.

“Projek Langkasuka hanyalah pelaburan permulaan ke Malaysia, kerana kami berusaha untuk memanfaatkan peluang besar di negara ini dengan memperoleh atau melabur dalam lebih banyak konsesi dan projek infrastruktur,” katanya.

WBG dan BZI memeterai perjanjian JV pada 7 Mac lalu untuk mengukuhkan lagi perkongsian, selaras dengan perjanjian kerjasama yang ditandatangani pada 30 Mac 2021.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Muhammad Ikmal serta Pengarah Eksekutifnya, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar, manakala Sheikh Midhat mewakili BZI.

WBG akan menguasai 70 peratus kepentingan ekuiti dalam Widad BZI, manakala BZI yang berpangkalan di Dubai akan memiliki baki 30 peratus kepentingan.

BZI adalah konglomerat terkemuka yang dimiliki oleh Sheikh Khaled bin Zayed Al Nahyan, anggota kanan keluarga diraja Abu Dhabi.

Perniagaannya merentasi pengurusan hartanah, pembinaan kediaman, bangunan komersial dan menara.

BZI menyasarkan untuk membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM100 bilion ke Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang, secara berperingkat bermula dengan pembangunan The Langkasuka.

The Langkasuka adalah pembangunan berprestij seluas 2,000 ekar dengan hartanah bertaraf antarabangsa yang akan dibangunkan dalam dua fasa.

Fasa satu pembangunan termasuk padang golf bertaraf antarabangsa di tepi laut dan sedia untuk penganjuran sebarang kejohanan, vila rumah peranginan seni bina Melayu yang menyajikan oasis mewah terunggul, pusat membeli-belah Designers’ Brand Mall, bazar membeli-belah The Langkasuka Village, hotel lima bintang serta kondominium super mewah.

Widad BZI turut berbincang dengan beberapa pihak yang berminat mengenai pembelian hotel dan pusat beli-belah barangan berjenama di bawah projek The Langkasuka.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon