KL Wellness City bandar penjagaan kesihatan pertama negara - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KL Wellness City bandar penjagaan kesihatan pertama negara

KL Wellness City bandar penjagaan kesihatan pertama negara

24 Mac 2022

KL Wellness City Sdn Bhd melancarkan perbandaran mampan berasaskan penjagaan kesihatan bersepadu yang pertama seumpamanya, seluas 10.72 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) secara keseluruhan lebih RM11 bilion.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Colin Lee, berkata projek itu, yang dinamakan KL Wellness City di Bukit Jalil, disasarkan untuk dibangun dan disiapkan dalam tempoh 10 tahun.

“KL Wellness City akan mentakrifkan semula cara pesakit Malaysia dan antarabangsa menerima rawatan, dalam perbandaran yang mampan dilengkapi dengan rangkaian penawaran dalam aspek kesihatan, perubatan, kecergasan dan kesejahteraan,” katanya pada taklimat dan pratonton media mengenai projek itu di sini, hari ini.

Melalui ekosistem 360 darjah, beliau berkata, syarikat menyasarkan KL Wellness City akan menawarkan pengalaman yang sempurna kepada semua orang yang ingin mendapatkan perjalanan pesakit yang lebih cekap dan lancar.

“Ini dapat dicapai dengan menyepadukan perkhidmatan perubatan, sampingan dan sokongan dalam satu hab kesihatan yang dibina khas seperti yang kami tawarkan.

“Kami turut menyasarkan hab penjagaan kesihatan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelancong penjagaan kesihatan global, selain menyumbang kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

Lee berkata, dengan kesejahteraan dan penjagaan kesihatan berada di barisan hadapannya, KL Wellness City menyasarkan untuk meningkatkan cara profesional perubatan mengendalikan serta menguruskan amalan mereka serta meningkatkan pengalaman pesakit untuk pesakit Malaysia dan antarabangsa.

Bagi mencapai matlamat ini, katanya, The Nobel Healthcare Park, sebuah kompleks perubatan dan kesejahteraan dengan GDV sebanyak RM1 bilion, dirancang sebagai hab sehenti daripada diagnosis hingga pemulihan.

Diterajui oleh pasukan pengurusan yang kukuh dengan pengalaman selama berdekad dalam membina dan menguruskan hospital tertiari, konsep KL Wellness City sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan global utama untuk pelancong penjagaan kesihatan, selain matlamat Pelan Tindakan Industri Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021-2025 yang bertujuan untuk meningkatkan pelancongan perubatan di negara ini.

“Penjagaan perubatan Malaysia adalah antara yang terbaik di Asia Tenggara dan International Hospital kami dinilai berbanding hospital terkemuka di rantau ini, terutama Mount Elizabeth Novena di Singapura dan Bumrungrad International Hospital di Bangkok, kedua-duanya memberikan perkhidmatan kepada sejumlah besar pesakit antarabangsa.

“Kami yakin perancangan kami untuk perbandaran bersepadu sepenuhnya ini akan menyumbang ke arah pengalaman yang positif kepada mereka yang mencari kesihatan dan kesejahteraan di KL Wellness City,” katanya.

KL Wellness City akan dilancarkan dalam dua fasa dan apabila siap sepenuhnya, akan turut merangkumi menara pejabat, pusat peranginan persaraan serta pangsapuri perkhidmatan yang berteraskan kesejahteraan.

Fasa pertama disasarkan siap pada 2025.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon