Turkish Aerospace bawa kepakaran ke Malaysia
30 Mac 2022
Turkish Aerospace Industries Inc (TAI) berminat untuk bekerjasama dan membangunkan industri aerongkasa Malaysia dengan membawa kepakaran pengeluaran produk tulen (OEM) ke negara ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Professor Temel Kotil, berkata syarikat berpangkalan di Ankara itu merancang untuk membentuk syarikat usaha sama (JV) 50:50 dengan rakan tempatan, yang kemudiannya akan menjadi syarikat OEM pertama negara ini.
Beliau berkata, menjadi peserta utama dalam rantaian global elektrik dan elektronik dengan jumlah bakat yang besar, Malaysia sepatutnya mampu mengeluarkan pesawat, helikopter malah pesawat tanpa pemandu (UAV) sendiri.
“Malaysia hanya menumpukan kepada penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), aerostruktur serta membuat peralatan kepada pengeluar pesawat. Anda boleh berbuat lebih daripada itu.
“Kerajaan sangat berminat untuk membina industri (OEM) sendiri serta memiliki produk milik Malaysia yang direka bentuk, dibina dan dijual dari negara ini.
“Kami mahu menjadi sebahagian daripadanya, membantu memendekkan masa untuk mencapai sasaran berkenaan. Ia memerlukan kami 20 tahun, maka kami tidak mahu Malaysia menghabiskan 20 tahun lagi (untuk melaksanakan perkara yang sama),” katanya kepada Bernama di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.
DSA yang diadakan dua tahun sekali diadakan serentak dengan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) berakhir esok di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Temel berkata, TAI, yang baru-baru ini membuka pejabat Asia Pasifik di Cyberjaya, merancang untuk memiliki operasi OEM di Malaysia tahun depan dan perbincangan dengan beberapa syarikat tempatan sedang diadakan.
Beliau berkata, usaha sama OEM itu termasuk kerjasama dalam pengeluaran bersiri helikopter tulen T625 Gokbey di Malaysia, pengeluaran pertama di luar Turki yang akan berkhidmat untuk pasaran Asia.
“Kami mahu menjadikan Malaysia sebuah hab. Saya melihat bahawa Malaysia adalah lokasi yang tepat untuk mereka bentuk dan membina. Negara ini mempunyai kemampuan,” katanya.
Helikopter generasi baharu, enjin berkembar, kelas enam tan pelbagai guna Gokbey dibangun dan dikonfigurasi untuk memenuhi keperluan operasi pelbagai tujuan seperti kargo, pengangkutan VIP, perkhidmatan perubatan kecemasan, luar pesisir serta carian dan menyelematan dengan ruang kabin besar.
Aerodinamik Gokbey direka bentuk untuk memberikan getaran rendah, tahap kebisingan rendah, penggunaan bahan api cekap, selain jarak dan ketahanan lebih baik untuk fleksibel misi lebih tinggi dalam kelasnya.
TAI adalah firma pertahanan dan aeroangkasa terbesar di Turki, menumpukan kepada pembangunan produk tulen.
Syarikat itu menyasar untuk menjadi satu daripada 10 firma terbesar dunia dalam industri menjelang 2028 dengan pendapatan mencecah AS$10 bilion.
Sumber: Bernama