ESG pastikan Malaysia dapat capai pertumbuhan mampan
30 Mac 2022
Tumpuan kepada elemen berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) adalah penting ketika ini bagi memastikan Malaysia dapat mencapai pertumbuhan yang mampan pasca pandemik COVID-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata langkah ini juga menyokong matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk merancakkan semula pembangunan sosioekonomi negara dengan kemampanan dan kemakmuran jangka panjang menjadi asas untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, Malaysia juga sebelum ini pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Paris turut mengumumkan sasaran neutral karbon menjelang 2050.
Sasaran ini, katanya, disokong oleh inisiatif seperti laluan karbon rendah yang mampan, tiada kapasiti baharu untuk loji jana kuasa arang batu dan sasaran sumber tenaga boleh diperbaharui menyumbang kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti tersedia.
“Sebagai sebahagian daripada Bajet 2022, kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif berasaskan kelestarian, termasuk penubuhan Pasaran Karbon Sukarela (VCM) oleh Bursa Malaysia, geran padanan untuk menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan bahan mentah yang mampan dan tenaga boleh diperbaharui melalui Kemudahan Peralihan Rendah Karbon Bank Negara Malaysia (BNM) dan penerbitan Sukuk Kelestarian dalam ringgit sehingga RM10 bilion.
“Malah, dalam ketidaktentuan pandemik COVID-19, Malaysia juga perlu terus menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada syarikat asing dan domestik.
“Kerajaan memperkenalkan insentif cukai teknologi hijau untuk menggalakkan pelaburan tambahan dan juga memperluaskan skop kepada projek Sistem Pengumpulan danPenggunaan Semula Air Hujan (SPAH) dalam Bajet 2022,” katanya selepas melancarkan Polisi Pelaburan Mampan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, walaupun dalam persekitaran ekonomi global masih kekal mencabar, kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan hampir 900 projek teknologi hijau dengan pelaburan berjumlah RM3.7 bilion pada 2021.
Beliau berkata, ini adalah petanda yang baik untuk potensi aliran pelaburan Malaysia yang tinggi dan kecenderungan terhadap teknologi hijau.
Laporan dari Bloomberg Intelligence juga, katanya, merekodkan aset ESG global berada di landasan yang tepat untuk melangkaui AS$53 trilion menjelang 2025,menyumbang lebih daripada satu pertiga jumlah aset yang diuruskan dalam lingkungan AS$140.5 trilion.
Beliau menambah, peningkatan permintaan untuk aset ESG ini adalah tidak menghairankan memandangkan prestasi pulangan yang lebih baik dalam jangka masa panjang manakala bagi pulangan tahunan untuk tempoh tiga, lima dan 10 tahun seperti indeks MSCI Malaysia ESG Leaders juga jelas mengatasi indeks MSCI Malaysia.
Justeru itu, langkah KWSP mengadaptasi elemen ESG dalam pelaburan mereka, katanya, adalah satu langkah yang perlu dipuji kerana tidak ada satu pun kerajaan di dunia ini yang boleh melakukan semuanya sendiri dalam proses peralihan kepada ekonomi yang berdaya tahan iklim dan mampan.
“Oleh kerana kita kesuntukan masa untuk mengurangkan kesan perubahan iklim atau kejutan yang tidak dijangka pada masa depan, pelabur institusi mesti menyokong kerajaan dalam menggerakkan agenda kemampanan di seberapa banyak sektor dan industri secepat mungkin.
“Untuk mengekalkan momentum proses penyelarasan ini, pelabur institusi mesti berkongsi data utama tentang bagaimana setiap industri di dalam ekosistem mereka membentuk diri masing-masing dari segi kemampanan.
“Ini akan membolehkan dasar-dasar masa depan diubah suai dengan sewajarnya untuk meningkatkan penyesuaian iklim Malaysia dan strategi mitigasi krisis secepat mungkin,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan akan terus menyokong KWSP dan pelabur institusi di Malaysia untuk melabur secara mampandan mengukuhkan komitmennya terhadap konsep ESG.
Beliau berkata, didorong oleh komitmennya terhadap dua matlamat pelaburan mampan yang menyeluruh iaitu pematuhan ESG menjelang 2030 dan portfolio neutral iklim menjelang 2050, Polisi Pelaburan Lestari KWSP, Dasar Isu Keutamaan, dan Dasar Sektor Keutamaan, berada di landasan yang tepat ke arah mencapai objektif pelaburan mampan.
Namun, katanya, dalam usaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dengan menyelaraskan dasar-dasar dengan piawaian atau rangka kerja global, prinsip dan pendekatannya mesti disesuaikan dengan objektif nasional serta keperluan tempatan.
“Ini adalah untuk memastikan peralihan yang adil dan saksama yang mengiktiraf ciri-ciri unik, kekuatan dan cabaran setiap negara dalam mencapai objektif itu.
“Tambahan pula, dengan penelitian global terhadap standard buruh yang meningkat secara beransur-ansur, kami yakin bahawa Dasar Kesejahteraan Pekerja KWSP akan mengukuhkan lagi amalan buruh di kalangan badan-badan korporat Malaysia, di samping membuktikan komitmen negara untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja.
“Kerajaan percaya bahawa dengan menginstitusikan dasar ESG dalam pelaburan KWSP, manfaatnya akan dapat dirasai sepanjang rantaian nilai pasaran modal Malaysia, yang juga akan memanfaatkan rakyat,” katanya.
Sumber: Bernama