KAB pasang sistem tenaga PV di Mydin Tunjong
12 Apr 2022
Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) melalui syarikat milik penuhnya KAB Gree Solar Sdn Bhd dan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) untuk membangunkan aset tenaga boleh diperbaharui untuk Mydin Kelantan.
Melalui PPA berkenaan, KAB Gree Solar akan mereka bentuk, membina, memasang, memiliki, mengendali dan menyelenggara sistem tenaga fotovoltaik (PV) solar yang bersambung grid pada bumbung tempat letak kereta terbuka pasar raya besar Mydin Tunjong.
Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn, berkata PPA berkenaan membolehkan kumpulan itu menyokong komitmen Mydin untuk generasi akan datang yang menekankan kepentingan persekitaran operasi yang mampan.
“Kontrak jangka panjang bersama-sama peruncit komited seumpama ini adalah seiring dengan strategi kami untuk terlibat dengan organisasi yang berkongsi nilai yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah fasa satu PPA itu, KAB akan menyediakan sehingga 2,041.65 kilowatt peak (kWp) tenaga elektrik solar kepada Mydin secara keseluruhan untuk sepanjang tempoh perjanjian itu.
Sementara itu, Mydin dijangka menjana penjimatan tenaga kira-kira 66 juta setiap kilowatt-sejam (kwh), dan kira-kira 38,650 tan setara dengan karbon dioksida (CO2e) dapat dielakkan untuk tempoh 21 tahun.
Bagi fasa dua, KAB akan membangunkan 2,064.40 kWp yang seterusnya sebaik sahaja terma dan pelaksanaan masa dimuktamadkan.
“Kami sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan organisasi yang berminat untuk mengurangkan jejak karbon mereka dan kami telah berjaya melaksanakannya dengan terus terbabit dengan syarikat yang berkongsi aspirasi yang sama dengan kami,” kata Keng Onn.
Menurut kumpulan itu, PPA berkenaan adalah sejajar dengan strategi jangka panjang KAB untuk membangunkan aset tenaga boleh diperbaharui sebagai satu daripada pemacu pertumbuhan utamanya.
Sehingga kini, ia telah mengumumkan pelbagai projek tenaga boleh diperbaharui melalui kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat di rantau ASEAN.
Sumber: Bernama