Lattice Semiconductor wujudkan hab kejuruteraan, operasi di Pulau Pinang
15 Apr 2022
Peneraju boleh program kuasa rendah, Lattice Semiconductor yang tersenarai di Nasdaq, mengembangkan operasinya di Malaysia dengan mewujudkan hab kejuruteraan dan operasi baharu di Pulau Pinang untuk menyokong pertumbuhan pesatnya.
Dalam kenyataan bersama, Lattice Semiconductor dan InvestPenang menjelaskan syarikat itu akan menduduki ruang pejabat seluas 6,000 kaki persegi di Bayan Baru dan menumpukan kejuruteraan aplikasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain operasi, dengan sasaran mempunyai bilangan kakitangan melebihi 30 menjelang akhir 2022.
Ketua Tapak bagi Lattice Malaysia, Friiscor Ho berkata Pulau Pinang terkenal sebagai negeri yang menempatkan bakat bakat teknologi tinggi, menjadikannya pilihan ideal untuk mengembangkan operasi global Lattice di sini.
“Kami mempunyai rancangan pertumbuhan yang menarik dalam pasaran ini dengan strategi pengambilan pekerja yang aktif. Kami berkedudukan baik untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di sini bagi mempercepat pelaksanaan strategik kami.
“Kami berharap dapat memanfaatkan pertumbuhan kukuh syarikat yang berterusan dalam pasaran susun atur gerbang medan boleh program (FPGA),” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata Lattice Semiconductor akan menjadi tambahan hebat kepada industri teknologi yang sedang pesat membangun dan ekosistem yang dibangunkan dengan baik di negeri ini.
Pulau Pinang mencapai kemajuan ketara dalam meletakkan kedudukannya sebagai hab inovasi global dan terdapat peningkatan kehadiran peneraju semikonduktor global yang memilih negeri ini untuk menjalankan aktiviti penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan.
Sumber: Bernama