32 syarikat dianugerahkan kuota FiT, jana pelaburan RM1.14 bilion
07 Dis 2022
Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) menganugerahkan kuota Tarif Galakan (FiT) kepada 32 syarikat tahun ini dengan jumlah kapasiti mencecah 111.407MW, yang dijangka menjana pelaburan bernilai RM1.14 bilion.
Permohonan kuota FiT bagi 2022 ini juga akan mewujudkan 540 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh diperbaharui (RE).
“Kuota FiT ini boleh didapati sepenuhnya melalui pelaksanaan e-bidaan untuk sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil pada Ogos 2022 dengan jumlah kuota yang ditawarkan sebanyak 187MW,” katanya dalam satu kenyataan.
SEDA telah menerima penyertaan yang menggalakkan daripada 68 syarikat dengan jumlah kapasiti 312.007MW.
Mekanisme FiT diperkenalkan semula pada 2011 untuk menggalakkan penjanaan tenaga melalui sumber yang boleh diperbaharui.
Projek RE yang diluluskan ini dijangka akan menjana serta membekalkan elektrik bermula pada 2025 dan 2027.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam pembangunan sektor RE di samping menyokong sasaran 31 peratus kapasiti terpasang RE menjelang 2025 dan 40 peratus pada 2035,” kata SEDA.
Sejak mekanisme FiT diperkenalkan pada 2011, sejumlah 1,423.96MW kuota telah diluluskan untuk semua sumber boleh diperbaharui melibatkan 10,480 projek di seluruh negara.
Keputusan permohonan kuota FiT 2022 boleh diakses melalui portal SEDA Malaysia pada www.seda.gov.my.
Sumber: Bernama