A Rock Group sasar peluang ambil alih bagi kembangkan kedudukan
01 Jan 2021
Pemaju gaya hidup, A Rock Group Holdings Bhd giat mencari peluang pertumbuhan dengan bergabung atau mengambil alih perniagaan baharu untuk memastikannya terus berkembang dan menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi selepas pandemik.
Pandemik telah menjadi faktor yang mengganggu sektor pelancongan, yang bermakna terdapat peluang untuk dimanfaatkan, kata Marco Hong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah A Rock Limestone Bhd, anak syarikat A Rock Group.
Kami yakin untuk setiap krisis, akan terdapat pengubah pasaran dan pemimpin. Kami mencari usahawan dan pelabur yang mempunyai pemikiran yang sama untuk mewujudkan nilai melalui projek kami,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, syarikat menyasarkan industri perhotelan dan pelancongan berdasarkan perubahan dalam tata laku perbelanjaan pengguna dan struktur pasaran pasca COVID-19, kata Yan Ng, CEO dan Pengarah A Rock Coral Reefs Bhd, satu lagi anak syarikat A Rock Group.
“Kami gembira projek pertama kami, A Rock Coral Reefs (resort konsep Maldives) di Langkawi telah bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada bukan hanya pasaran tempatan tetapi juga antarabangsa. Kami juga telah memulakan projek kedua — A Rock Limestone, berikutan kami yakin dengan potensi Langkawi,” katanya.
A Rock Limestone adalah konsep resort yang direka mengikut destinasi percutian terkenal di dunia di Santorini, Greece.
“Selain itu, pandemik akan berakhir dengan adanya vaksin dan pasaran pelancongan akan pulih. Dalam tempoh sukar ini, walaupun kebanyakan syarikat sedang berusaha untuk bertahan, kami terus ke hadapan,” kata Ng.
Selain projek di Langkawi, dengan sumber kewangan, kumpulan ini dapat membantu mereka yang terjejas teruk oleh pandemik, katanya.
“Kami mencari rakan strategik dengan hartanah dan perkhidmatan dalam sektor pelancongan. Alasan kami dapat melakukan ini ialah berdasarkan kekuatan kewangan kami.
“Bersama-sama, kami yakin kumpulan kami dan rakan perniagaannya akan menjana keuntungan melalui campuran aliran pendapatan yang stabil, bermula daripada perniagaan runcit, perdagangan dan pengurusan hotel,” kata Ng.
Sumber: Bernama