AHTV bakal jadikan Malaysia hab pengeluar kenderaan elektrik di ASEAN – PM
12 Apr 2022
Pelan pembangunan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di sini dijangka menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar kenderaan elektrik, serta pembekal komponen ke pasaran ASEAN, bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan tersebut dilihat dapat menarik minat pelabur-pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.
Pembangunan AHTV, katanya telah dicadangkan lebih 10 tahun lalu bagi memantapkan operasi pengilangan PROTON dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim, supaya lebih berpusat dan mampu meningkatkan produktiviti.
Justeru tidak mustahil satu hari nanti, Perdana Menteri berpandangan Tanjung Malim juga akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini.
“Selain itu, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.
“Pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti Taman Perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang tahun 2030.
“Pada masa sama, AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan Universiti Penyelidikan yang signifikan dengan industri ini,” katanya, di sini pada Selasa.
Perdana Menteri berucap pada Majlis Pelancaran Automotive High-Technology Valley (AHTV) di Kompleks Sukan Proton City, di sini pada Selasa.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Berucap lanjut, Ismail Sabri berkata usaha membangunkan AHTV sebagai hab baharu pengeluaran kenderaan elektrik adalah selari dengan hasrat dan komitmen kerajaan ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Selain, ia dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050, tambah Perdana Menteri.
Jelas beliau lagi, pembangunan tersebut turut diharap dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap, sekali gus mengurangkan kesan rumah hijau.
“Saya yakin dan percaya, dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan yang berkaitan serta dana yang disalurkan, ia mampu menjadi projek mega kawasan perindustrian automotif yang gah di rantau ini.
“Bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan, dan juga penyelidikan, saya mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga terletak dalam wilayah High-tech Valley, membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automotive Research and Training (CAART),” ujar Perdana Menteri.
Beliau berkata, CAART di UPSI akan dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi.
Ia akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia, serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.
“Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di AHTV ini dapat dilestarikan secara produktif,” katanya.
Pada majlis tersebut, DRB-HICOM dan Kerajaan Negeri Perak turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk mengenal pasti peruntukan tanah tambahan yang sesuai di sekitar kawasan Tanjung Malim bagi pembangunan AHTV.
Sumber: Astro Awani