ams Osram bina kemudahan baharu di Batu Kawan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ams Osram bina kemudahan baharu di Batu Kawan

ams Osram bina kemudahan baharu di Batu Kawan

07 Mac 2022

Pembuat sensor dan LED, ams Osram akan mengembangkan kehadirannya di Pulau Pinang dengan menduduki tapak seluas 24 hektar di Taman Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang dekat Batu Kawan untuk membina sebuah kemudahan yang akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan masa depannya.

Ini sejajar dengan kemajuan syarikat bagi membangunkan penyelesaian optik bersepadu generasi akan datang.

Naib Presiden ams Osram, Glen Brownlie memberitahu syarikat itu adalah antara yang digelar ‘Lapan Samurai’ syarikat elektrik dan elektronik (E&E) yang pertama kali melabur di negeri ini 50 tahun lalu serta sudah menghasilkan berbilion-bilion diod pancaran cahaya (LED) sejak itu.

“Fasiliti baharu ini akan dilengkapi sebuah kampus, kemudahan pembuatan canggih serta pusat penyelidikan dan pembangunan untuk mereka bentuk selain membangunkan penyelesaian optik generasi akan datang, seiring dengan usaha kami bagi memajukan teknologi dalam bidang penginderaan, pencahayaan dan visualisasi,” katanya pada sidang media secara bersama dengan InvestPenang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang berhubung dengan pelan pengembangan perniagaannya di sini, hari ini.

“ams Osram merancang untuk mewujudkan portfolio yang menarik dan bervariasi dalam kemudahan baharu itu. Batu Kawan serta Pulau Pinang adalah pusat kejayaan strategi kami yang sedang berjalan dan impian kami,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan kampus itu dijangka bermula pada suku kedua 2022 serta disasarkan untuk disiapkan menjelang hujung 2023.

Tambahnya, pembangunan tapak itu akan membabitkan komitmen modal yang agak ketara dengan pembelian tanah serta kos pembinaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang hadir pada majlis itu berkata dengan pelaburan terkini ams Osram, Pulau Pinang bersedia untuk mengembangkan kolam bakatnya dalam teknologi sensor cahaya dan memperdalamkan kepakaran kejuruteraan negeri dalam bidang LED.

“Kepentingan Pulau Pinang pada skala global adalah diperakui, disokong oleh peranan kritikal dalam industri E&E khususnya; Pulau Pinang menyumbang lebih daripada lima peratus jualan semikonduktor global.

“Eksport Pulau Pinang dikuasai oleh produk E&E dan semikonduktor. Pulau Pinang, sebagai salah satu daripada tulang belakang utama ekonomi negara, menjana lebihan perdagangan sebanyak RM101 bilion pada 2021,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon