Ancom sebagai kumpulan kimia bersepadu sepenuhnya melalui cadangan pengambilalihan
29 Apr 2021
Pengeluar dan pembekal bahan kimia pertanian dan perindustrian utama di Asia Tenggara, Ancom Bhd bercadang untuk mengambil alih semua aset dan liabiliti Nylex (M) Bhd dengan nilai RM179.3 juta, menjadikan RM1.00 sesaham Nylex.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata ia mewakili premium yang baik terhadap harga transaksi terakhir dan harga pasaran purata wajaran (VWAMP) saham Nylex sehingga dan termasuk 27 April, 2021.
Premium daripada 16.2 peratus hingga 31.5 peratus dalam tempoh VWAMP saham Nylex terpilih.
Berdasarkan Ancom kini memegang 50.3 peratus dalam Nylex, pertimbangan bersih untuk cadangan pengambilalihan yang akan dibayar oleh Ancom sebanyak RM96.7 juta, iaitu untuk baki 49.7 peratus kepentingan yang tidak dimilikinya pada masa ini.
“Pertimbangan pembelian bersih akan dilunaskan melalui pembayaran sebanyak RM50 juta secara tunai, dengan baki RM46.7 juta dilunaskan melalui terbitan 31.1 juta saham Ancom baharu pada harga terbitan RM1.50 sesaham,” katanya.
Selepas cadangan pengambilalihan itu, Ancom berkata Nylex akan mengekalkan RM15 juta tunai dalam syarikat.
Baki sebanyak RM81.7 juta akan diagihkan kepada semua pemegang saham Nylex (selain daripada Ancom) melalui pengurangan modal dan langkah pembayaran balik pengagihan tunai RM35 juta dan RM46.7 juta melalui saham pertimbangan pada tarikh yang akan ditentukan oleh Nylex.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ancom Lee Cheun Wei berkata melalui langkah penggabungan tersebut, Ancom dan Nylex akan menjadi kumpulan kimia yang lebih besar dan lebih kukuh dengan minat dalam perniagaan agrokimia dan kimia industri di Malaysia dan pasaran dunia.
“Mempunyai kawalan penuh terhadap perniagaan Nylex dalam bahagian kimia industri, polimer dan logistik kimia akan memberi kami lebih banyak eksibiliti dalam pelaksanaan seluruh strategi kami.
“Dengan selesai langkah tersebut, Ancom akan menjadi antara penggiat kimia industri dan pertanian paling bersepadu di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata langkah penggabungan itu akan turut menyaksikan gabungan lembaran imbangan yang lebih kukuh untuk kumpulan tersebut dan berharap untuk mencapai aspirasinya untuk mempunyai permodalan pasaran bernilai RM1 bilion dalam masa terdekat.
Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku keempat 2021.
Apabila selesai cadangan pengambilalihan dan cadangan pengagihan itu, Nylex akan diklasikasikan sebagai syarikat tunai tanpa perniagaan teras.
Oleh itu, Nylex akan dikehendaki untuk mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi kelulusan untuk mengambil alih perniagaan teras baharu dalam tempoh 12 bulan dari tarikh diklasikasikan sebagai syarikat tunai.
Ancom turut mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga dan sembilan bulan hari ini bagi tempoh berakhir 28 Feb, 2021.
Pendapatan Ancom pada suku ketiga tahun ini naik lapan peratus tahun ke tahun kepada RM389.2 juta.
Katanya peningkatan itu didorong oleh segmen kimia industri dan pertanian.
Sejajar dengan pendapatan yang lebih tinggi itu, keuntungan selepas cukai dan faedah bukan kawalan kumpulan meningkat 36 kali ganda tahun ke tahun kepada RM7.1 juta pada suku ketiga tahun ini berbanding RM0.2 juta pada tahun lepas.
“Ini adalah keuntungan suku tahun yang terbaik untuk Ancom sejak suku keempat 2019. Ini berikutan skala ekonomi yang lebih besar dan kos operasi yang lebih rendah,” katanya.
Ia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM16.3 juta disokong oleh pendapatan sebanyak RM1.09 bilion untuk tempoh sembilan bulan pada tahun ini
Sumber: Bernama