Asean fokus cergaskan semula pertumbuhan ekonomi serantau - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Asean fokus cergaskan semula pertumbuhan ekonomi serantau

Asean fokus cergaskan semula pertumbuhan ekonomi serantau

11 Sep 2021

Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-53 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan berakhir dengan kata sepakat positif untuk menggiatkan semula pertumbuhan ekonomi serantau dan pentingnya pemuafakatan dan komitmen Asean untuk bekerjasama serta keluar daripada krisis Covid-19 dengan jayanya.

Bagi mencergaskan kembali ekonomi serantau, perbincangan mengenai status pelaksanaan di bawah Kerangka Pemulihan Komprehensif Asean (ACRF) menjadi tumpuan utama, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Antara inisiatif utama di bawah ACRF yang telah selesai adalah pemeteraian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), memuktamadkan kajian komprehensif Rangka Kerja Integrasi Digital ASEAN dan Pelan Tindakan Kerangka Integrasi Digital Asean (DIFAP) 2019- 2025, katanya pada akhir mesyuarat yang diadakan secara maya pada 8-9 September 2021.

Menteri Kanan merangkap Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat AEM yang dihoskan oleh Brunei Darussalam selaku Pengerusi Asean 2021.

Pada mesyuarat berkenaan, Azmin menekankan pentingnya pemuafakatan ASEAN dan perlunya untuk terus bekerja dengan tekad yang lebih besar untuk mengatasi cabaran yang dicetuskan oleh pandemik agar rantau ini dapat muncul lebih kuat dan lebih berdaya tahan.

Beliau turut menyuarakan betapa mustahaknya untuk mempercepat pelaksanaan semua inisiatif di bawah ACRF bagi memudahkan pembukaan semula ekonomi dan seterusnya memacu pemulihan serantau.

Mesyuarat AEM juga mengalu-alukan pemuktamadan Pelan Hala Tuju Bandar Seri Begawan: Agenda Transformasi Digital Asean untuk Memacu Pemulihan Ekonomi dan Penyepaduan Ekonomi Digital Asean yang akan menyediakan rancangan yang fokus untuk Asean mengembangkan persekitaran yang mantap bagi Ekonomi Digital Asean selain memastikan rantau ini dapat muncul lebih kuat daripada kemelut pandemik.

Dalam menyokong pelan hala tuju dan menggesa agar pelaksanaannya berjalan lancar, Azmin berkata sudah tiba waktunya untuk menangani keperluan segera dan jangka pendek bagi transformasi digital di rantau ini.

Justeru, beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk memasukkan elemen ekonomi digital yang komprehensif dalam pengaturan dan kerjasama perdagangan antarabangsa bagi mewujudkan persekitaran perdagangan digital yang lebih stabil, berisiko rendah dan mengurangkan kos pematuhan.

Inisiatif ini melengkapkan MyDIGITAL Malaysia yang menggariskan strategi untuk mendorong pertumbuhan ekonomi digital dan mengecilkan jurang digital selain mengubah negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu secara digital dan teknologi.

Para menteri turut mengesahkan Kerangka Ekonomi Pekeliling untuk Komuniti Ekonomi Asean dalam memperakui pentingnya memajukan agenda ekonomi yang lestari dan mampan.

Azmin juga menegaskan bahawa faktor Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) merupakan elemen penting dalam Wawasan Komuniti Asean 2025, dan sangat mustahak dalam usaha menggalakkan penciptaan nilai jangka panjang, mengintegrasikan perniagaan Malaysia ke dalam rangkaian antarabangsa dan menarik lebih banyak pelabur.

Sehubungan itu, beliau telah mengusulkan konsep Carbon Neutrality untuk Asean dan mengadakan perbincangan mengenai peluang pelaburan dalam ekonomi hijau yang mana telah diterima baik oleh rakan menteri yang lain dan seterusnya disokong oleh Pengerusi AEM Datuk Amin Liew Abdullah.

Bergerak ke hadapan, Pengerusi Sekretariat Asean Lim Jock Hoi turut melahirkan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memajukan inisiatif ini dan memperdalam komitmen ke arah kelestarian dan teknologi hijau.

AEM bermula dengan Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dengan para menteri dimaklumkan mengenai status pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (ATIGA) serta ulasan mengenainya.

Pencapaian dalam langkah-langkah pemudahcaraan perdagangan juga dilaporkan, termasuk pengesahan Kit Kecekapan Kos Langkah-langkah Bukan Tarif (NTM), yang akan bertindak sebagai panduan penting untuk menangani NTM yang memberi kesan kepada kelancaran aliran barangan di Asean.

Ini diikuti oleh Mesyuarat Majlis Kawasan Pelaburan Asean (AIA) yang menyaksikan para menteri menerima pada dasarnya Kerangka Pemudahcaraan Pelaburan ASEAN (AIFF), menekankan pentingnya meningkatkan proses memudahkan pelaburan di negara-negara anggota Asean.

Ini amat perlu untuk mempromosikan dan mengekalkan pelaburan di rantau ini selain menyumbang kepada pemulihan ekonomi secara keseluruhan.

Mesyuarat itu turut memuji kerja yang telah dilaksanakan oleh Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC) pada tahun 2021 dalam meningkatkan usaha Asean ke arah integrasi ekonomi dan terus menerus memperjuangkan inisiatif yang menjadi pusat peningkatan persekitaran perniagaan dan masyarakat Asean.

Sehubungan itu, para menteri menyambut baik saranan ASEAN-BAC mengenai pembangunan modal insan, fasilitasi perdagangan dan kesalinghubungan digital.

Para menteri juga mengesahkan senarai barangan keperluan yang diperluas dalam memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pelaksanaan Langkah-Langkah Bukan Tarif Terhadap Barang-barang Keperluan yang ditandatangani pada bulan November 2020, untuk memastikan aliran barang-barang keperluan tanpa gangguan di rantau ini.

Senarai itu kini merangkumi makanan dan produk pertanian, daripada senarai ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang dipersetujui sebelumnya.

Mereka turut melancarkan laporan-laporan Competition Assessment and Competitive Neutrality OECD mengenai sektor logistik di Asean.

Dibiayai oleh Program Reformasi Ekonomi Asean-UK, kedua-dua kajian ini bertujuan untuk menilai kekangan peraturan mengenai persaingan dalam sektor logistik di semua negara anggota ASEAN dengan mengenal pasti peraturan yang menghalang fungsi kecekapan pasaran dan mewujudkan persaingan sama rata untuk perniagaan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon