Asia mampu jadi kuasa kukuh pasca pandemik - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Asia mampu jadi kuasa kukuh pasca pandemik

Asia mampu jadi kuasa kukuh pasca pandemik

29 Nov 2021

Usahawan terkemuka Malaysia Datuk Seri Vijay Eswaran menggesa pengintegrasian ekonomi di Asia, sambil menegaskan bahawa Asia perlu membangun sebagai blok perdagangan untuk menjadi kuasa yang kukuh.

Ia berikutan ekonomi global akan beralih daripada Barat ke Timur ketika pasca pandemik dan “masa depan akan menjadi sebagai Milenium Asia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bercakap pada Mesyuarat Tahunan Horasis Asia selaku perhimpunan utama di Asia bagi pemimpin kanan perniagaan dan kerajaan di rantau ini, baru-baru ini, Vijay berkata negara penggerak di Asia merangkumi India, China, ASEAN termasuk Malaysia, selain Jepun, Taiwan dan Korea Selatan.

“Ini adalah hab serantau, yang pada asasnya penting, yang mana itulah sebabnya ‘kita perlu memberi lebih penekanan kepada kawasan berhampiran kita dan Asia perlu membangunkan falsafahnya sendiri untuk menangani cabaran dalam melangkah ke hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai topik ‘Membentuk Asia Baharu’ Vijay yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan QI, sebuah konglomerat di Asia menyifatkan ia bakal menjadi cabaran sebenar dalam membentuk ekonomi global ketika semua pihak sedang menuju norma baharu pasca pandemik.

Beliau berkata separuh daripada penduduk dunia menetap di Asia dengan ekonomi yang berkembang lebih pantas dan semakin saling berkait dalam aspek kebudayaan, perniagaan dan perdagangan.

Blok perdagangan mega baharu berpotensi untuk membantu mendorong pelaburan ekoran krisis COVID-19 dan menyediakan rangka kerja bagi kerjasama serantau yang seterusnya dalam situasi ketegangan perdagangan global.

“Kita perlu mengakui bahawa Asia akan menjadi peneraju atau sekurang-kurangnya menyumbang separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia menjelang 2040 dan ini merupakan perkembangan yang penting,” kata Vijay yang menyokong laporan penyelidikan oleh McKinsey.

“Saya berpandangan, apa yang telah dilaksanakan China melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) adalah langkah sangat kukuh dalam membawa bersama negaranegara merentasi dunia ketiga, dan terutamanya di ASEAN, ini telah mendapat perhatian dan disambut baik.

“Ia telah mengalihkan impak China kepada dunia dan membangunkan peluang pelaburan baharu, membina pasaran eksport, dan merangsang pendapatan dan penggunaan domestik rakyat China, yang pada akhirnya memacu mereka untuk menjadi kuasa ekonomi pada hari ini,” katanya.

Mengenai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata PKS bakal menjadi masa depan untuk pasca pandemik.

Beliau menegaskan kesihatan ekonomi negara banyak bergantung kepada kelangsungan perniagaan kecil dan sederhana, dan sehubungan itu, golongan itu memerlukan perlindungan terbesar dan skim kredit kewangan untuk meneruskan kelangsungan akibat pandemik.

“PKS adalah kuasa sebenar pada masa akan datang. PKS paling terjejas semasa pandemik dan PKS perlu dibangunkan semula.

“Tidak dinafikan bahawa firma-firma besar adalah penting untuk membawa masuk pelaburan, pelaburan langsung asing ke pelbagai negara merentasi Asia, namun, kita perlu menumpukan kepada PKS kerana mereka merupakan enjin pertumbuhan dan mereka perlu bangkit semula, bermula semula dan diperkasa semula,” katanya.

Vijay turut menegaskan berhubung kepentingan untuk menggalakkan keusahawanan dan menurutnya pandemik telah mencetuskan lambakan usahawan baharu yang memanfaatkan penerimaan pengguna terhadap ekonomi digital.

Diadakan di platform persidangan digital Horasis pada Jumaat, acara itu menghimpunkan lebih 400 pemimpin perniagaan dan politik terkemuka dari seluruh Asia dan dunia untuk membincangkan kaedah menangani cabaran ekonomi, politik dan sosial akibat COVID-19.

Kumpulan QI adalah ahli aktif Horasis, kumpulan pemikir antarabangsa sejak 2016.

Sepanjang berlangsungnya Mesyuarat Horasis Asia 2021, perbincangan tertumpu ke arah memulakan semula aktiviti ekonomi, bagaimana pekerjaan di rantau ini pada masa akan datang, dan bagaimana pembangunan yang lebih mampan akan berlaku di Asia dalam dunia pasca koronavirus.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon