Bajet 2023 fokus kepada penggunaan teknologi automasi dan digital - Timb Menteri Kewangan II - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Bajet 2023 fokus kepada penggunaan teknologi automasi dan digital – Timb Menteri Kewangan II

Bajet 2023 fokus kepada penggunaan teknologi automasi dan digital – Timb Menteri Kewangan II

12 Sep 2022

Bajet 2023 akan memberi fokus kepada penggunaan pesat teknologi automasi dan digital serta pembangunan tenaga kerja yang sedia untuk masa depan, kata Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa.

Beliau berkata kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak giat mempersiapkan Malaysia ke arah transformasi digital bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan saksama.

Katanya untuk Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, penting untuk memastikan ekosistem digital negara diperkukuh dan bakat masa depan diasah.

“Pendigitalan, penerimagunaan teknologi dan inovasi penting untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan. 

“Bagi tujuan menyokong pembangunan inovasi di Malaysia, dari 2021 hingga 2022, kerajaan juga telah meluluskan 99 projek dan program melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) dengan pelaburan berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan KL Venture Finance Forum 2022 (KLVF22) dan sambutan ulang tahun ke-20 Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) di sini hari ini. 

Yamani berkata dalam usaha untuk memperkasakan sektor teknologi, Kementerian Kewangan telah menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) untuk Bajet 2023 bertajuk “Dasar Penggunaan Barangan, Perkhidmatan dan Teknologi Hasil Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Tempatan Dalam Perolehan Kerajaan”.

“Ia bagi melindungi dan membangunkan industri tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada barangan import serta meningkatkan daya saing dan daya tahan selain membangunkan keupayaan teknologi tempatan untuk menyokong ekosistem pemindahan teknologi, pengkomersialan dan pemasaran hasil R&D tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Yamani menegaskan momentum pertumbuhan ekonomi dijangka terus kukuh pada suku ketiga 2022 disokong oleh aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak serta permintaan domestik dan luar yang terus kukuh.

“Justeru, kerajaan yakin ekonomi Malaysia mampu mencapai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rasmi 2022, iaitu di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon