Beberapa kementerian akan teliti inisiatif pelaburan bagi sokong MVV 2.0
14 Jun 2023
Beberapa kementerian akan meneliti inisiatif pelaburan yang dikemukakan kerajaan Negeri Sembilan bagi menyokong pembangunan Lembah Wawasan Valley (MVV 2.0), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kementerian tersebut adalah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Air dan Sumber Asli serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Bagi menyokong pembangunan MVV 2.0, saya juga berharap pihak berkuasa tempatan dapat memberi tumpuan dalam memajukan pembangunan di kawasan MVV 2.0 serta diberi keutamaan agar pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur dan inklusif.
“Usaha ini akan membawa manfaat kepada semua pihak khususnya rakyat di negeri ini. Pelan perancangan perlu dikemudi dengan baik untuk memacu kejayaan dan kecemerlangan negara. Kita memerlukan kepimpinan yang mantap dan berintegriti tinggi,” katanya pada majlis Peluncuran Projek Katalis MVV 2.0 di sini hari ini.
Teks ucapan itu dibaca oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri bagi merasmikan majlis tersebut.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas usaha kerajaan negeri ini serta agensi atas komitmen berterusan bagi perancangan pembangunan MVV 2.0 sehingga berjaya memeterai perjanjian dan usaha sama yang dianggarkan berjumlah RM15.6 bilion sehingga hari ini.
“Kerajaan yakin dasar dan strategi yang digubal akan memperkasakan ekosistem pelaburan dan merancakkan aktiviti pelaburan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mengembalikan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
“Semoga usaha ini akan diberkati demi kemajuan negara serta membawa Negeri Sembilan ke arah negeri maju menjelang 2045,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata bagi terus memperkasakan pekerja di negara ini, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga perlu diperkukuhkan untuk melahirkan pekerja yang efektif yang boleh mengoptimumkan produktiviti seterusnya dapat meningkatkan daya saing.
“Selain membuka peluang pekerjaan yang berkualiti, kita perlu memastikan usahawan tempatan mendapat peluang dalam ekosistem industri tersebut serta berlaku pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan,” katanya.
Pada majlis tersebut juga diadakan lima pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan empat Usaha Sama Pintar antaranya melibatkan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) bagi khidmat nasihat pembangunan ekosistem Aerospace Valley (NSAV) dan “Unmanned Vehicle Valley” (UVV).
MoU bersama China National Aero-Technology International Engineering Corporation (AVIC-ENG) bagi pembangunan hartanah dan infrastruktur di kawasan NSAV dengan jumlah pelaburan RM5.81 bilion.
Usaha sama bersama MCHB Development (NS) Sdn Bhd bagi pembangunan bercampur di Plot C Parcel B berjumlah RM7 bilion, MIE Industrial Sdn Bhd bagi pembangunan fasiliti Terminal Industri yang dikenali sebagai NS Maritime Gateway berjumlah RM1.2 bilion.
Usaha sama bersama Labu Tech Park Sdn Bhd bagi pembangunan infrastruktur kawasan industri NS Smart Park di Plot C, Parcel B berjumlah RM700 juta; NS Semiconductor Valley Sdn Bhd bagi pembangunan kawasan industri semikonduktor di Parcel F berjumlah RM420 juta dan pelbagai lagi.
MVV 2.0 adalah pembangunan berlandaskan kerjasama awam dan swasta untuk menjadikan bandar metropolis bertaraf dunia yang berdaya saing, inklusif dan bersih. Pembangunan MVV 2.0 dijangka memberi impak ekonomi kepada negara dengan membawa pelabur antarabangsa dan tempatan.
Pembangunan MVV 2.0 itu juga merangkumi 153,411 hektar tanah meliputi Seremban dan Port Dickson yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang berkualiti.
Sumber: Bernama