Bosai Group labur RM10.6 bilion projek di Kuantan
09 Nov 2021
osai Minerals Group Co Ltd (Bosai Group) bakal melabur sebanyak RM10.6 bilion dalam pembinaan projek perindustrian ekonomi pekeliling ‘Coke-Electricity-Aluminum and Ferroalloy’ di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, Pahang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan adalah projek kerjasama utama antara Malaysia dan China dengan dasar ‘Two Country, Twin Park’.
“Dengan dasar perindustrian yang menggalakkan, terminal air dalam (new deep water terminal) yang baik dan infrastruktur sokongan lengkap, Kuantan yang kaya dengan sumber alam semula jadi, bauksit dan bijih mangan dapat membekalkan bahan mentah utama stabil untuk penghasilan logam.
“Projek baharu ini nescaya dapat mempromosikan kelebihan sumber asli dan logistiknya secara lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Isnin, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Chongqing Bosai Group, Yuan Zhilun bagi mendengar laporan mengenai cadangan pelaburan dan pembinaan Bosai Group di Malaysia.
Ia memfokuskan teknologi hijau, penggunaan sumber mineral di Pahang dan mewujudkan peluang pekerjaan tempatan.
Bosai Group yang ditubuhkan pada tahun 1994 memfokuskan pada industri pembuatan aluminium, mangan dan logam bukan ferus serta disenaraikan antara 500 perusahaan swasta terbaik di China dan menduduki tempat pertama dalam perusahaan pembuatan swasta Chongqing pada tahun 2020.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, projek tersebut akan meliputi tanah seluas 660 ekar dan dijangka dapat mewujudkan 5,000 pekerjaan.
“Ia mengguna pakai teknologi hijau dan teknologi tenaga boleh diperbaharui yang terkemuka dalam industri.
“Projek ini dijadualkan untuk memulakan pembinaan pada tahun 2022 dan akan menjana lebih daripada RM21 bilion hasil jualan selepas siap pembinaan serta pengeluaran,” kata beliau.
Sumber: Sinar Harian