Cargill mulakan pembinaan kilang lemak khusus di Pelabuhan Klang
09 Nov 2021
KUALA LUMPUR, 9 Nov — Syarikat makanan global Amerika Syarikat (AS) Cargill telah memulakan pembinaan kilang lemak khusus bernilai RM145 juta (US$35 juta) di Pelabuhan Klang.
Presiden dan Ketua Kumpulan bagi perniagaan penyelesaian minyak makan global Cargill Jennifer Shomenta berkata ini merupakan langkah pertama dalam pelaburan pelbagai tahun global syarikat itu yang dijangka melebihi RM415 juta (US$100 juta) bagi mengembangkan portfolionya dalam lemak khusus.
“Lemak khusus sangat popular kerana kepelbagaian dan fungsinya.
“Dengan pelaburan ini, kami akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyokong ke arah inovasi pelanggan kami, dilengkapi dengan sesuatu yang diperlukan untuk mencipta bersama penyelesaian yang disesuaikan selaras dengan keperluan unik mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Cargill akan memasang kapasiti pemeringkatan sawit kering, membolehkan pengeluaran pelbagai lemak khusus untuk digunakan di dalam coklat, salutan, inti dan sebatian, sapuan, lemak roti dan aplikasi lain.
Ia juga akan turut menaik taraf Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Minyak Makan Malaysia, meningkatkan peralatan makmal dan loji perintis agar sejajar dengan keupayaan lemak khusus baharu di kemudahan di Pelabuhan Klang itu.
Pengembangan itu dijangka siap pada penghujung 2023, yang mana Cargill akan mula membekalkan lemak khusus siap kepada pelanggan di seluruh rantau AsiaPasifik, dan produk separuh siap ke kemudahan Cargill di Eropah, Timur Tengah, Rusia, Amerika Selatan, dan Amerika Utara.
Projek yang baharu diumumkan itu dibuat selepas peningkatan hampir siap RM83 juta (AS$20 juta) terhadap kemudahan itu yang bermula hanya setahun sebelum meningkatkan kapasiti di tapak pengeluaran.
Sumber: Bernama