Cochlear kembang kemudahan pembuatan global di Malaysia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Cochlear kembang kemudahan pembuatan global di Malaysia

Cochlear kembang kemudahan pembuatan global di Malaysia

26 Okt 2022

Cochlear Ltd, peneraju global bagi penyelesaian pendengaran boleh implan mengumumkan pengembangan kemudahan pembuatan globalnya di Kuala Lumpur, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara global untuk menghasilkan dan menyenggara pemproses bunyi implan
pendengaran.

Dalam kenyataan hari ini, katanya pengembangan baharu itu melibatkan pelaburan melebihi RM30 juta untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat di syarikat itu bagi implan pendengaran koklear dan akustik di Malaysia serta lebih 180 negara lain.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman berkata langkah Cochlear mengembangkan operasi pembuatan globalnya di Malaysia akan memantapkan lagi kedudukan negara bukan sahaja sebagai destinasi ASEAN bagi pembuatan inovatif dan termaju, malah, sebagai destinasi pelaburan peranti perubatan terkemuka dunia.

CEO merangkap Presiden Cochlear, Dig Howitt berkata pengembangan itu penting terhadap misi syarikat untuk membantu beratus-ratus ribu individu di seluruh dunia untuk mendengar.

“Selain meningkatkan kemampuan kami untuk menghasilkan lebih banyak pemproses bunyi, pusat pengedaran global baharu itu mengukuhkan kecekapan dari segi penghantaran barangan dan manfaat kemampanan dengan mengurangkan jarak perjalanan kami dengan para pembekal.

“Kami berterima kasih dengan sokongan dan kerjasama yang teguh daripada MIDA, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) yang membolehkan kami berkembang di Malaysia, menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi ketiga terbesar bagi rangkaian Cochlear,” katanya.

Dengan keluasan 50,000 kaki persegi, tapak baharu yang diperluas itu akan menghasilkan dan menyenggara pemproses bunyi implan akustik dan koklear yang terkini dan maju syarikat itu.
Tapak pembuatan itu turut dikuasakan dengan 100 peratus tenaga boleh baharu.

Bagi tahun fiskal 2021-2022, Cochlear menawarkan lebih 40,000 implan pendengaran untuk golongan dewasa dan kanak-kanak di seluruh dunia.

Bilangan kanak-kanak di Malaysia yang akan menerima manfaat daripada implan pendengaran dijangkakan meningkat.

Menjelang 2024, kerajaan menyasarkan untuk menjalankan saringan pendengaran universal kepada bayi baru lahir di 95 peratus hospital kerajaan dan swasta untuk mengenal pasti kanak-kanak dan menentukan mereka yang akan mendapat manfaat daripada alat bantu dengar.

Pada masa ini, hanya 65 peratus daripada hospital di Malaysia menawarkan perkhidmatan ini.

Kira-kira 1,500 kanak-kanak di Malaysia dilahirkan dengan hilang pendengaran pada setiap tahun.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon