CPTPP: Malaysia komited laksanakannya – Tengku Zafrul
05 Jan 2023
Malaysia tidak akan menilai semula Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang telah diratifikasi tahun lalu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebaliknya menegaskan kerajaan baharu ini komited untuk melaksanakannya.
“Saya berpeluang membentangkan CPTPP kepada Kabinet baru-baru ini dan kami (Kabinet) mengulangi komitmen kami terhadap apa yang telah dilaksanakan.
“Memang terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak, namun telah menangani perkara itu dan banyak tindakan telah diambil oleh kementerian dan kerajaan untuk menanganinya.
“Jadi kami sangat komited untuk menyertai CPTPP,” katanya dalam temu bual eksklusif saluran berita CNBC pada Khamis.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangani semua dokumen pentadbiran yang diperlukan untuk memastikan eksport dan import dapat diteruskan di bawah perjanjian tersebut.
Sumber: Astro Awani