CSH dapat lesen pasang van elektrik di Tanjung Malim
06 Jan 2023
Alliance EV Sdn Bhd (AEV), anak syarikat milik penuh CSH Alliance Bhd (CSH) memperoleh lesen pengilang bagi pemasangan van elektrik komersial serta kelulusan model van, khususnya BYD T3 EV.
Usaha pemasangan tempatan bagi model berkenaan akan dijalankan di kawasan seluas 22.2 hektar di Tanjung Malim, Perak, kata CSH dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia.
AEV kini dalam proses memohon permit Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan bagi membawa masuk unit siap pasang sepenuhnya (CBU) BYD T3 EV ke negara ini bagi tujuan pengedaran sebelum membangunkan kilang pemasangan tempatan.
Bagi lesen pengilang itu, CSH berkata AEV akan meneruskan usaha untuk memuktamadkan perjanjian komersial terperinci dengan BYD Malaysia Sdn Bhd membabitkan kilang berkenaan.
CSH menceburi industri kenderaan elektrik (EV) yang sejajar dengan matlamatnya untuk menjana tenaga masa depan menerusi usaha pemeteraian memorandum persefahaman dengan BYD Malaysia.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Eksekutif CSH, Jeff Chong, berkata sasaran seterusnya syarikat berkenaan adalah untuk membawa masuk van CBU bagi sektor komersial di Malaysia.
Menurutnya, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada industri komersial khususnya sektor logistik dan pengangkutan dari segi pengurangan pelepasan karbon.
“Secara bersama, kita dapat mengurangkan jejak karbon Malaysia dan mewujudkan persekitaran lebih lestari untuk generasi masa depan,” katanya.
CSH berkata, lokasi strategiknya di Tanjung Malim terletak dalam kawasan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) dan turut menempatkan kilang pembuatan automotif terbesar di Malaysia dengan syarikat rantaian bekalan komprehensif di sekitarnya.
AHTV adalah projek berimpak tinggi yang dapat memacu industri automotif negara serta disasarkan sebagai hab industri automotif bagi rantau Asean.
Sumber: Bernama