Datasonic ceburi perniagaan teknologi metaverse
01 Nov 2022
Datasonic Group Bhd mempelbagaikan lagi segmen perniagaannya dengan menceburi bidang baharu membabitkan teknologi metaverse, yang dijangka dapat dapat meningkatkan lagi pendapatan dan keuntungan kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abu Hanifah Noordin, berkata Datasonic menjalin kerjasama dengan Meta Doers World Holdings Bhd bagi menubuhkan sebuah syarikat usaha sama 60:40 yang menumpukan kepada teknologi berkaitan metaverse dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
“Kerjasama dengan Meta Doers akan membolehkan kumpulan memasuki bidang perniagaan baharu, lain daripada perniagaan sedia ada kami.
“Kami menjangkakan produk pertama metaverse akan tersedia di pasaran pada suku pertama 2023,” katanya selepas majlis menandatangani memoradum persefahaman (MOU) di sini, hari ini.
Metaverse adalah gabungan pelbagai elemen dalam teknologi yang direka untuk membolehkan pengguna merasai pengalaman hidup dalam dunia digital.
Ia dunia maya 3D yang dicipta menggunakan realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) dan teknologi video.
Tujuan metaverse dicipta adalah untuk menjadi platform komunikasi moden dan memudahkan pengguna melakukan aktiviti harian seperti bekerja, bermain dan bersosial.
Abu Hanifah berkata, Meta Doers yang telah lama terbabit dalam metaverse sektor pendidikan dan kesihatan.
mempunyai kepakaran serta produk, namun perlu disesuaikan dengan pasaran baharu.
Katanya, syarikat usaha sama kedua-dua pihak itu juga akan meninjau pasaran ASEAN lain selain Malaysia dalam tempoh terdekat.
“Pembelajaran dalam talian menjadi semakin popular terutamanya ketika pandemik. Sektor pendidikan meneroka ke dalam menyepadukan teknologi bagi mengubah persekitaran pembelajaran menjadi lebih interaktif, kreatif dan menghiburkan.
“Kerjasama ini menandakan kemasukan Datasonic ke dalam dunia metaverse yang memfokuskan pada sektor pendidikan dan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, Datasonic turut terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk menawarkan menawarkan perkhidmatan metaverse sektor pendidikan dan kesihatan kepada kerajaan serta pihak swasta.
“Pada peringkat awal, pasaran sasaran kami ialah sekolah rendah, sekolah menengah, agensi pendidikan tinggi dan latihan di Malaysia dan negara ASEAN,” katanya.
Meta Doers adalah sebahagian daripada Kumpulan Pendidikan Doers, penyedia pendidikan dalam talian dan luar talian serta perundingan projek Metaverse yang berpangkalan di Taiwan.
Kumpulan Pendidikan Doers adalah salah satu perintis dalam industri pendidikan dan latihan dengan lebih 24 tahun pengalaman di China, Hong Kong, Macau, Taiwan, Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia, Filipina dan Kanada.
Abu Hanifah berkata, berdasarkan laporan oleh McKinsey & Company, pelaburan dalam metaverse secara global telah meningkat daripada AS$57 bilion pada 2021 kepada AS$120 bilion pada Jun 2022 dan jumlahnya dijangka terus meningkat.
“Kami melihat potensi besar dalam platform metaverse dalam banyak industri terutamanya pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Melalui penubuhan syarikat usaha sama 60:40, kami akan memanfaatkan kepakaran dan kekuatan daya saing kedua-dua pihak untuk membangunkan produk bernilai tinggi,” katanya.
Sumber: Berita Harian