Demant pilih KL jadi hab teknologi pertama di luar Eropah - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Demant pilih KL jadi hab teknologi pertama di luar Eropah

Demant pilih KL jadi hab teknologi pertama di luar Eropah

29 Ogo 2023

Syarikat Denmark, Demant membuka hab teknologi pertamanya di luar Eropah di sini untuk menyokong perjalanan pertumbuhan syarikat dengan sasaran meraih bahagian yang lebih besar dalam pasaran penjagaan kesihatan pendengaran.

Demant ialah kumpulan penjagaan kesihatan pendengaran dan teknologi audio terkemuka yang tersenarai di Nasdaq Copenhagen.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak yang merasmikan Hab Teknologi dan Inovasi Demant, berkata Kuala Lumpur berbangga menjadi hab teknologi pertama Demant di luar Eropah dan menjadi sebahagian daripada sejarah kecemerlangan kumpulan yang dibina di atas warisan penjagaan, kesihatan serta inovasi.

Beliau berkata, dengan perkongsian Demant, Malaysia terus memperoleh momentum sebagai hab dinamik untuk teknologi dan inovasi di Asia.

“Kami berbesar hati untuk menyokong fokus Demant terhadap penjagaan kesihatan pendengaran dan menantikan penyelesaian transformatif untuk berjuta-juta orang di seluruh dunia.

“Kami mengalu-alukan syarikat global yang berfikiran sama untuk bekerjasama dengan kami bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan di seluruh Asia dan dunia.

“Malaysia ialah destinasi pelaburan yang pro-pelaburan, pro-perdagangan, pro-industri serta disokong oleh cadangan perniagaan yang kukuh, kemudahan menjalankan perniagaan yang dipertingkatkan, ekosistem yang teguh, infrastruktur digital dan kumpulan bakat yang dinamik,” katanya pada majlis pelancaran hab itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli.

Pasaran penjagaan kesihatan pendengaran kini dianggarkan bernilai kira-kira AS$22 bilion (RM102 bilion) dengan kadar pertumbuhan purata sekitar empat peratus setahun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih lima peratus daripada populasi dunia atau 430 juta orang hidup dengan kehilangan pendengaran.

Menjelang 2050, kehilangan pendengaran boleh memberi kesan kepada satu daripada 10 orang, atau lebih 700 juta penduduk.

Ketua Pegawai Maklumat Demant, Christian Pedersen, berkata, pembukaan hab teknologi Demant di Kuala Lumpur mengukuhkan komitmen syarikat itu untuk mewujudkan kesihatan pendengaran yang mengubah kehidupan.

“Kami berbesar hati untuk memanfaatkan kumpulan bakat cemerlang Kuala Lumpur, lokasi strategik, kepelbagaian, sokongan kerajaan yang berfikiran ke hadapan, dan komitmen untuk mempercepatkan ekonomi digital, untuk membangunkan penyelesaian inovatif Demant.

“Kuala Lumpur akan menjadi hab diagnostik terbesar kami di luar Eropah, menempatkan 65 peratus pasukan jurutera dan pakar global yang akan menerajui dalam membangunkan penyelesaian perisian yang menggabungkan teknologi terkini termasuk kepintaran buatan (AI),” katanya.

Demant mempunyai dua pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) lain di Eropah iaitu di Copenhagen dan Warsaw, Poland.

Hab teknologi Kuala Lumpur akan memberi perkhidmatan kepada pasaran di seluruh dunia dengan tumpuan di Asia, terutamanya Asia Utara.

Pada separuh pertama 2023, perniagaan Demant di Asia, didorong oleh pertumbuhan ketara di China, mengatasi semua pasaran lain dengan pertumbuhan 34 peratus.

Demant merancang untuk mengambil 200 jurutera dan pakar menjelang 2024, dan menambah bilangan pekerja berkemahiran tinggi sebanyak 50 peratus menjelang 2026.

Hab Kuala Lumpur akan diketuai oleh Pengurus Besar, Christian Daugbjerg.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon