DENSO labur RM160 juta tingkat kapasiti di Selangor - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


DENSO labur RM160 juta tingkat kapasiti di Selangor

DENSO labur RM160 juta tingkat kapasiti di Selangor

24 Feb 2021

DENSO MALAYSIA Sdn Bhd, anak syarikat DENSO Corporation melabur RM160 juta bagi meningkatkan kapasiti pengeluarannya di Selangor.

Pelaburan dalam projek yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu dijadualkan bermula April ini.

Projek yang membabitkan pengeluaran semikonduktor automotif ASIC dikenali ‘Exposed Pakage’ atau (Ex-PKG) memiliki fungsi tinggi dan berdaya saing, penyebaran haba tinggi yang cekap serta mengurangkan kos.

Komitmen anak syarikat pembekal sistem dan komponen mobiliti global terkemuka dari Jepun itu dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) membabitkan usaha membangunkan komponen kritikal dalam komponen Kenderaan Generasi Baharu (NxGV), teknologi mobiliti dan pemanduan berautonomi.

Pengarah Urusan DENSO MALAYSIA, Tomoya Nakamura, berkata kilang di Selangor dipilih sebagai satu-satunya pusat pengeluaran semikonduktor di ASEAN di luar Jepun.

“Kilang pengeluaran ini disokong rangkaian pembekalan di Malaysia yang kukuh, infrastruktur yang dibangunkan dengan baik dan persekitaran yang mesra perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di bawah projek itu, DENSO MALAYSIA akan berfungsi sebagai hab pembuatan dan pengedaran bekalan kepada DENSO di Jepun dan syarikat kumpulan DENSO lain di seluruh Amerika Utara, China, Eropah dan rantau lain.

DENSO akan membantu mempromosikan eksport alat ganti automotif ke luar Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan industri automotif di negara ini.

Nakamura berkata, pelaburan berkenaan juga akan mewujudkan barisan pengeluaran automatik menerusi teknik pemprosesan unik dan peralatan pengeluaran rekaan DENSO yang memiliki kecekapan dan kualiti tinggi.

“Pemindahan pengetahuan produk juga akan mengembangkan kemahiran kejuruteraan tempatan di kalangan tenaga kerjanya menerusi konsep ‘Hitozukuri (pembangunan sumber manusia)’ DENSO yang berdedikasi.

“Di samping itu, pengenalan rangkaian pengeluaran automatik sepenuhnya juga akan mempercepat peralihan teknologi Industri 4.0, seperti penggunaan Internet Kebendaan (IoT), pengurusan data besar dan automasi kilang di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, berkata kerajaan menyambut baik langkah DENSO untuk menjadikan Malaysia sebagai negara di luar Jepun untuk menghasilkan produk canggih sebagai hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan.

“Kami mengakui perbelanjaan operasi lebih RM20 juta dalam tempoh lima tahun akan menguntungkan ekosistem perniagaan tempatan bermula dari industri insurans, perundangan, perbankan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pengangkutan.

“Keputusan DENSO memperluaskan kehadiran mereka di Malaysia membuktikan negara menjadi lokasi pelaburan yang kompetitif untuk operasi bernilai tinggi di tengah-tengah ketidaktentuan global,” katanya.

Di Malaysia, DENSO MALAYSIA menghasilkan pelbagai produk merangkumi sistem penyaman udara, radiator, unit kawalan enjin, unit kawalan elektronik beg udara, stereng kuasa elektrik dan produk lain.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon