DICP: 10 firma tempatan peroleh dana RM100 juta - MIDA - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


DICP: 10 firma tempatan peroleh dana RM100 juta – MIDA

DICP: 10 firma tempatan peroleh dana RM100 juta – MIDA

22 Dis 2021

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui Platform Penyelarasan Pelaburan Domestiknya (DICP) telah membantu 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pertengahan (MTC) tempatan untuk mendapatkan dana bernilai lebih RM100 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata syarikat tempatan yang mendapat manfaat daripada platform itu terlibat dalam sektor makanan dan minuman, pembuatan dan teknologi kewangan.

“Kami telah mengadakan libat urus dengan lebih 175 syarikat dan kira-kira 20 syarikat dalam peringkat lanjutan dari segi memuktamadkan cadangan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan kedai runcit D’Masking di sini hari ini.

Beliau berkata MIDA dan DICP telah berjaya membantu banyak PKS dan perniagaan tempatan termasuk pakar durian bersepadu pertama Malaysia, DSR Taiko Bhd (DSR) untuk meneruskan pelan perniagaan mereka dengan menyediakan hubungan yang hilang antara perniagaan, pembiayaan, teknologi dan keupayaan penyelidikan.

Setakat ini, sebanyak tujuh syarikat sedang melalui proses pembiayaan melalui ekuiti persendirian, modal teroka dan institusi perbankan; tiga syarikat sedang bersedia untuk tawaran awam permulaan dalam tempoh tiga tahun dan 10 syarikat dalam proses mengguna pakai teknologi.

Beliau berkata platform DICP antara inisiatif untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan, terutamanya dalam pelaburan domestik.

MIDA telah bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk pengawal selia tempatan, syarikat penyedia teknologi, institusi kewangan serta firma penasihat ekuiti dan korporat untuk memudahkan syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka; seterusnya, memacu lebih banyak pelaburan langsung domestik (DDI) di negara ini.

“DICP telah berjaya membantu banyak PKS dan perniagaan tempatan dalam melaksanakan pelan perniagaan mereka. Kami percaya dalam mewujudkan keterangkuman dan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kami akan terus mengalu-alukan lebih banyak kerjasama kerajaan-perniagaan untuk membantu pelanggan kami membina ekonomi negara.

“Sebagai rakan kongsi perniagaan yang dipercayai, selain membantu pelabur dan pemilik perniagaan mengembangkan operasi mereka, MIDA akan terus menjalankan peranannya untuk mendapatkan sumber dan tenaga kerja,” katanya dalam ucapannya.

Menyelaraskan tumpuannya dengan agenda Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), MIDA sedang giat mencari pelabur yang berpotensi untuk menjana sektor yang mempunyai keupayaan pertumbuhan dan menyesuaikannya dengan persekitaran perniagaan secara keseluruhannya.

Pada pelancaran itu, DSR turut bertukar perjanjian projek dengan SIRIM Tech Venture Sdn Bhd untuk membangunkan standard industri SIRIM mengenai Musang King melalui Sistem Penjejakan Bersepadu Musang King (MKITS) untuk meningkatkan kebolehkesanan produk.

Kerjasama itu dijangka menggalakkan pewujudan pekerjaan selain membangunkan kemahiran baharu dalam amalan terbaik pertanian.

“Sistem ini, yang dianggap sebagai pemacu perubahan, akan mengubah landskap industri perladangan durian. Aplikasi Internet of Things (IoT) dan Analisis Data Raya membolehkan kesinambungan perniagaan dan memberikan hasil yang lebih ketara.

“Melalui ini, industri makanan dan pertanian, antara tonggak utama sektor ekonomi kita, dapat terus beroperasi dengan lebih cekap untuk memenuhi keperluan pasaran yang semakin meningkat dan, lebih penting lagi, dalam tempoh ekonomi tidak menentu,” kata Arham.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DSR Datuk Ng Lian Poh berkata kumpulan turut memulakan pengembangan di peringkat antarabangsa dengan membawa durian Musang King tempatan ke peringkat global, bermula dengan 15 negara pada awal 2022.

Di bawah jenama D.Masking, DSR akan memasarkan durian itu ke negara-negara termasuk China, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Singapura dan Afrika Selatan, melalui rangkaian Daily Fresh, melalui kerjasamanya dengan Daily Fresh Foods Group.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon