DIO pacu usaha pelaburan digital Malaysia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


DIO pacu usaha pelaburan digital Malaysia

DIO pacu usaha pelaburan digital Malaysia

23 Apr 2021

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama bagi mempermudah usaha pelaburan berkaitan menerusi penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (DIO).

Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, kedua-dua agensi itu berkata peranan DIO juga sejajar dengan Rangka Tindakan MyDIGITAL dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang berpandukan teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Matlamat usaha ini adalah bagi memperkukuh penyelarasan semua agensi galakan pelaburan untuk menarik pelaburan baharu berkaitan bidang yang pesat berkembang ini,” kata kenyataan itu.

Penubuhan DIO itu disahkan oleh Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan penubuhan DIO itu sebagai bertepatan pada masanya kerana dapat menyuntik nilai unik bagi pelaburan digital akan datang.

“Ekonomi digital adalah enjin pertumbuhan masa depan bagi Malaysia. Kita yakin dengan adanya tadbir urus berstruktur dalam penggalakkan dan kemudahan pelaburan sedemikian, ekosistem digital Malaysia akan lebih diperkukuh serta mantap bagi (persediaan) masa depan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, DIO juga seiring dengan evolusi landskap pelaburan serantau ke arah pendigitalan dan Industri 4.0 selain dapat memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam usaha pemulihan bagi tempoh pasca-COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Arham Abdul Rahman berkata, kedua-dua agensi terbabit komited dalam usaha memudahkan pelaburan berkualiti ke dalam negara, termasuk pelaburan digital.

“MIDA selaku agensi penggalakkan dan pelaburan utama di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berharap dapat bekerjasama erat dengan MDEC bagi melonjakkan pertumbuhan pelaburan digital.

“Kerjasama ini secara tidak langsung dapat mewujudkan lebih banyak tenaga profesional tempatan yang berkemahiran tinggi serta memupuk jaguh digital global bagi jangka panjang. Ini akan meningkatkan lagi kelebihan daya saing Malaysia dengan menawarkan pelbagai faktor untuk menarik pelabur,” katanya.

Dalam pada itu, CEO MDEC, Surina Shukri pula menyifatkan DIO sebagai ‘pengubah keadaan’ kerana menjadi titik atau pusat perhubungan tunggal untuk pelabur bagi ekonomi digital Malaysia.

“DIO adalah pencapaian penting kemudahan pelaburan dalam menarik pelaburan digital berkualiti tinggi demi manfaat perniagaan serta rakyat kita serta seiring dengan agenda Malaysia 5.0,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon