ECERDC, MIDA sasar pelaburan RM5 bilion dari Korea Selatan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ECERDC, MIDA sasar pelaburan RM5 bilion dari Korea Selatan

ECERDC, MIDA sasar pelaburan RM5 bilion dari Korea Selatan

05 Jul 2022

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang mempergiat usaha untuk menarik pelaburan berpotensi dari Korea Selatan yang dianggarkan bernilai RM5 bilion.

Dalam satu kenyataan, ECERDC berkata pelaburan-pelaburan ini dijangka daripada firma terkemuka Korea Selatan yang terbabit dalam sektor petrokimia, bahan kimia khusus dan bahan termaju, dengan potensi untuk membangunkan kilang-kilang pembuatan baharu di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu, Tengku Datuk Hassan Tengku Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berada di Korea Selatan dari 25 Jun hingga 2 Julai, mengetuai misi pelaburan dalam usaha mempromosikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai destinasi pelaburan pilihan buat pelabur berpotensi di sana.

Baidzawi berkata, misi ini adalah kesinambungan daripada komunikasi berterusan antara pihak ECERDC dengan pelabur sasaran di Korea Selatan sejak dua tahun lalu dan ECERDC menaruh keyakinan tinggi bahawa syarikat-syarikat ini akan melabur di Wilayah ECER, khususnya di negeri Terengganu.

“Rakan kongsi strategik kami turut sama menyertai delegasi ini bagi memudahcara proses perundingan dalam memenuhi sebarang keperluan bakal pelabur, sekali gus menambahkan keyakinan mereka untuk melabur,” katanya.

Semasa di Korea Selatan, Baidzawi berkata delegasi telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil dari subsektor berpotensi lain yang menunjukkan minat untuk melabur dalam bidang bioteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Misi pelaburan ini dijangka mampu mengukuhkan hubungan dua hala dan menarik lebih banyak pelaburan berpotensi daripada kalangan syarikat Korea Selatan ke ECER dan pihak ECERDC menghargai sokongan yang diberikan oleh pihak MIDA di Seoul sepanjang misi ini,” tambahnya.

Korea Selatan adalah antara rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM79.78 bilion pada tahun 2020.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon