Ekonomi Malaysia mengukuh pada suku kedua – DOSM
27 Mei 2021
Ekonomi Malaysia dijangka terus mengukuh pada suku kedua 2021 terutama disebabkan kesan asas yang lebih rendah selepas ekonomi menguncup 17.1 peratus semasa suku kedua 2020, berdasarkan prestasi beberapa petunjuk ekonomi utama.
“Bagaimanapun, pemulihan ini amat bergantung pada sejauh mana pandemik COVID-19 dapat dikawal termasuk impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan prosedur operasi standard yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi serta aspek sosial.
“Lanjutan bagi perkara ini, Indeks Pelopor (IP) pada Mac 2021 mencatatkan pertumbuhan yang mantap pada 17.3 peratus berikutan kesan asas yang rendah pada Mac 2020 susulan sekatan yang dilaksanakan di seluruh negara serta disokong oleh prestasi komponen IP yang lebih baik,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini sempena dengan penerbitan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 5/2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Melihat kepada prestasi IP dan pandemik COVID-19 semasa, prospek ekonomi jangka pendek agak memberangsangkan tetapi masih mencabar.
“Oleh itu, komitmen semua individu adalah sangat penting dalam mengawal situasi pandemik semasa bagi mengembalikan momentum ekonomi dalam beberapa bulan akan datang”, katanya.
Keadaan ekonomi Malaysia daripada segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut kecil sebanyak 0.5 peratus pada suku pertama 2021 tetapi mencerminkan pemulihan berbanding penguncupan 3.4 peratus dari suku sebelumnya.
“Peningkatan ini disokong oleh pengembangan dalam sektor perkilangan, pemulihan dalam pertanian dan prestasi yang lebih baik yang dicatatkan oleh semua sektor ekonomi berbanding dua suku terakhir.
“Ekonomi Malaysia pada suku kali ini secara beransur-ansur sedang memulih apabila semakin banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi dalam PKP 2.0, yang agak longgar berbanding PKP 1.0 yang dikenakan pada Mac 2020,” tambahnya.
Pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan juga mendorong pemulihan ekonomi dan mengurangkan potensi kesan negatif ekonomi negara ini.
“Selain itu, persekitaran ekonomi yang memberangsangkan pada suku pertama 2021, sebahagian besarnya didorong oleh prestasi petunjuk ekonomi utama yang lebih baik pada Mac 2021,” katanya lagi.
Menurut Mohd Uzir, Imbangan Akaun Semasa Malaysia (CAB) terus mencatatkan lebihan dengan merekodkan RM12.3 bilion pada suku pertama 2021 berbanding RM18.6 bilion pada suku tahun sebelumnya, didorong oleh momentum positif eksport bersih barangan.
Manakala, Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatatkan aliran masuk yang lebih tinggi sebanyak RM9.1 bilion berbanding RM6.8 bilion pada suku tahun sebelumnya berikutan aliran masuk ekuiti dan pelaburan semula yang bertambah baik serta aliran masuk yang lebih rendah dalam instrumen hutang.
“Pada masa yang sama, pelaburan langsung ke luar negara oleh syarikat Malaysia juga melonjak, dengan pembukaan semula ekonomi global, ia mencatatkan sejumlah RM7.8 bilion pada suku pertama 2021 berbanding RM5.2 bilion pada suku sebelumnya susulan peningkatan pelaburan dalam ekuiti di luar negara dan pendapatan yang boleh dilabur semula.
Perdagangan Malaysia juga terus meningkat, dengan jumlah perdagangan mencatatkan kenaikan dua digit sebanyak 14.8 peratus dari tahun ke tahun.
“Sejajar dengan ini, imbangan perdagangan Malaysia kekal merekodkan lebihan sebanyak RM58.6 bilion,” katanya.
“Daripada segi pasaran buruh, berikutan langkah bersasar dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini, ketidaktentuan momentum pemulihan dalam pasaran buruh dapat diperhatikan dengan bilangan penduduk bekerja menurun sedikit 0.04 peratus dari tahun ke tahun kepada 15.24 juta orang dan kadar pengangguran kekal tinggi melebihi empat peratus dengan merekodkan 4.8 peratus pada suku pertama 2021.
“Daripada sudut permintaan buruh, bilangan jawatan dalam sektor ekonomi berkurang sedikit selepas dipengaruhi penurunan dalam jawatan yang diisi, sementara kekosongan mencatatkan peningkatan kecil.
Secara keseluruhan, pasaran buruh masih berada dalam situasi yang mencabar dan belum kembali seperti sebelum pandemik.
Sumber: Bernama