EPMB sasar jadi pengeluar kereta elektrik tempatan pertama
17 Okt 2022
EP Manufacturing Berhad (EPMB) dan SAEAN Group Inc menyasar mengeluarkan secara besar-besaran 20,000 kereta elektrik setahun untuk pasaran Asia Tenggara.
Ia sekali gus menandakan penerokaan EPMB dalam pembuatan kenderaan elektrik beroda empat (EV).
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, ini adalah satu lagi peristiwa penting bagi EPMB, berikutan usaha berterusan untuk mengeluarkan skuter elektrik dan menerokai perdagangan kredit karbon
Untuk tujuan itu, kumpulan telah bekerjasama dengan SAEAN Group Inc yang berpangkalan di California untuk saling membangunkan dan mengeluarkan EV iaitu kereta elektrik 4 tempat duduk 5 pintu segmen A.
Pakatan strategik itu juga mungkin melihat penerokaan ke dalam pembuatan EV industri berat untuk sektor pembinaan.
Kedua-dua pihak telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) hari ini untuk memulakan perkongsian.
Di bawah perkongsian itu, SAEAN akan menawarkan pengetahuan teknikal dan reka bentuk untuk EV dibangunkan bersama dengan EPMB. Kedua-dua pihak juga akan meneroka program pengembangan untuk menampung peluang eksport.
Sementara itu, EPMB akan menyediakan sokongan dari segi sumber dan maklumat pasaran yang diperlukan untuk pembangunan EV, dan secara aktif berusaha untuk pengeluaran besar-besaran, bekalan dan jualan.
Katanya, EPMB akan memanfaatkan pengalamannya yang telah lama dibina dalam membekalkan alat ganti kereta utama kepada beberapa OEM.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, menerusi pakatan strategik itu, syarikat akan meningkatkan rantaian nilai dan terus memanfaatkan potensi sebenar selepas menjadi pengeluar alat ganti OEM automotif selama bertahun-tahun.
“Kami bersedia untuk menjadi salah satu pengeluar kereta EV tempatan pertama di Malaysia sebaik sahaja usaha sama dengan SAEAN ini dihidupkan.
“Pada ketika ini, banyak EV masih tidak dapat dirasai oleh kebanyakan pengguna kerana harga kemasukan yang tinggi. Kami menyasarkan, melalui kerjasama ini, kami boleh menggunakan lebih banyak sumber tempatan untuk menyokong pemasangan kenderaan tempatan kami. Semoga penjimatan itu dapat diterjemahkan kepada kos kemasukan dan pengendalian yang lebih murah.
“Memandangkan kepakaran SAEAN yang mantap dalam pembangunan konsep EV dan teknologi perkakasan, kami juga yakin bahawa kami boleh mempercepatkan pelancaran komersial dalam beberapa tahun akan datang. Pada masa yang sama, EPMB akan berusaha untuk mencapai pemindahan pengetahuan teknikal untuk manfaat rakyat Malaysia dalam landskap EV,” katanya
SAEAN adalah peserta EV yang berkembang pesat dan telah membangunkan kereta elektrik 4 tempat duduk 5 pintu segmen A dan banyak teknologi kenderaan elektrik yang lain.
Ditubuhkan pada 2013, SAEAN kini memiliki lebih 120 paten berkaitan EV dengan Pusat Penyelidikan dan Pembangunannya di Korea Selatan.
Di bawah rancangan pengembangannya, model EV sport akan memulakan pengeluaran terhad tahun depan untuk pasaran AS. Syarikat itu juga dalam sedang dalam usaha untuk penyenaraian di Nasdaq tidak lama lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAEAN Group Inc, John Lee berkata: “Sebagai sebuah syarikat yang telah melabur banyak dalam membangunkan kereta EV, pemeteraian hari ini menandakan satu peristiwa penting bagi SAEAN Group Inc kerana kami akhirnya mengenal pasti rakan kongsi pembuatan, EPMB yang tersenarai di Bursa Malaysia, untuk bergabung tenaga dalam menghasilkan kereta EV.
“Malaysia akan menjadi hab kami untuk menerokai pasaran Asia Tenggara dengan rancangan lanjutan untuk terus mengeksport ke A.S., Kanada, Korea Selatan, Jepun dan Eropah.
“Oleh itu, kekuatan dan rangkaian EPMB di Malaysia akan memainkan peranan penting bagi kami untuk menjalankan usaha EV ini. Selain itu, memandangkan cita-cita ESGnya, kami tidak ragu-ragu bahawa EPMB akan menjadi rakan kongsi terbaik untuk kami di rantau ini. Kami berharap dapat memindahkan perkongsian kami ke peringkat seterusnya tidak lama lagi.”
Berikutan MoA, EPMB dan SAEAN akan menyelesaikan butiran lanjut mengenai saiz pelaburan oleh kedua-dua pihak, lokasi pembuatan, harga produk dan garis masa untuk pelancaran komersial.
Penerokaan EPMB ke dalam kereta elektrik berikutan kepelbagaiannya ke dalam pembuatan motosika elektrik.
Sebagai imbasan, pada 26 September 2022, anak syarikat milik penuh EPMB, EP Blueshark Sdn Bhd, menerima Lesen Pengilangan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menjalankan aktiviti pemasangan motosikal elektrik. EPMB telah bekerjasama dengan Sharkgulf Technologies Group Ltd yang berpangkalan di China untuk memasang, mengeluarkan dan mengedarkan EV dua roda berjenama Blueshark di Malaysia dan negara ASEAN yang lain.
Sumber: Berita Harian