EPMB terima tempahan e-Bikes dari Indonesia, Vietnam
09 Jan 2023
EP Manufacturing Bhd (EPMB) yang tersenarai di Pasaran Utama, telah memperoleh pesanan utama pertamanya untuk membekalkan motosikal elektrik (e-Bikes) bagi pasaran Indonesia dan Vietnam.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata tempahan awal itu adalah sebanyak 23,000 unit, yang mana akan dihantar bermula suku pertama tahun ini.
“Ini adalah peristiwa penting bagi Kumpulan, selain usahanya dalam perniagaan kenderaan elektrik beroda empat (EV) yang diumumkan sebelum ini,” kata kenyataan itu.
Susulan itu EPMB, melalui anak syarikat milik penuhnya EP Blueshark Sdn Bhd, menandatangani Perjanjian Induk hari ini dengan Averte Global Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura dan Blueshark Group Ltd yang berpangkalan di Hong Kong, di mana Averte dan Blueshark telah bersetuju untuk menjadi rakan kongsi usahasama dan pembeli.
Perjanjian pembelian itu katanya, akan berkuat kuasa selama lima tahun dari tarikh Perjanjian Induk ini dan boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama.
“Sepanjang tempoh lima tahun, EP Blueshark dijangka membekalkan sekurang-kurangnya dua juta e-Bikes kepada pembeli.
“Harga bagi setiap e-Bike dijangka berada dalam lingkungan AS$1,850 hingga AS$3,900 (RM8,136 hingga RM17,152).
“Perlu ditekankan bahawa EPMB telah bekerjasama dengan Sharkgulf Technologies Group Ltd yang berpangkalan di China untuk memasang, mengeluarkan dan mengedarkan EV dua roda berjenama Blueshark, yang menyasarkan pasaran Malaysia dan Asia Tenggara yang lain,” katanya.
Pada Oktober 2022, EP Blueshark menerima kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memasang dan mengeluarkan e-Bikes di kemudahan pembuatannya yang akan datang di Glenmarie, Shah Alam.
Mengulas perkembangan itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif EPMB, Lim Sim Yee dalam kenyataan sama berkata, pihaknya memulakan tahun 2023 dengan berita baik untuk EPMB.
Ia kerana perjanjian lima tahun itu akan mewujudkan sumber pendapatan baharu bagi Kumpulan dengan margin yang mantap.
Ia akan meletakkan EPMB pada pertumbuhan yang dipercepatkan sambil berusaha untuk mendapatkan lebih banyak pembeli yang sedemikian pada masa hadapan.
“Walaupun penerokaan EV kami hanya bermula kurang dari setahun yang lalu, kami telah melihat sambutan yang kukuh daripada bakal pelanggan.
“Kami melihat peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk EV beroda dua di Indonesia dan Vietnam. Pasaran e-Bike Indonesia, sebagai contoh, diramalkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 20.96 peratus untuk mencapai AS$816.2 juta menjelang 2025, menurut kajian bebas oleh Research and Markets.
“EPMB berharap untuk berada di barisan hadapan untuk memanfaatkan permintaan ini,” katanya.
Averte terbabit dalam perniagaan penghantaran produk dan perkhidmatan hijau yang inovatif dan memberi impak di Asia.
Pada Julai 2022, Averte menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Viettel Post Joint Stock Corporation, di mana Viettel Post akan membeli 20,000 e-Bikes dan ia juga akan membuka 1,800 outletnya di seluruh negara untuk bekerjasama dengan Averte dalam menjual e-Bikes kepada korporat atau pelanggan individu.
Viettel Post ialah anak syarikat Vietnam Telecom, firma telekomunikasi terbesar di Vietnam.
Averte juga telah menandatangani Perjanjian Awal pada Julai 2022 dengan PT Sarinah, sebuah perusahaan milik negara di bawah kerajaan Indonesia.
PT Sarinah telah dilantik untuk mempromosikan dan mempopularkan e-Bikes di Indonesia. Selain itu, Averte juga menandatangani Perjanjian Awal dengan rakan kongsi perolehan PT Sarinah, PT Marco Indokarya, untuk perolehan 2 juta unit e-Bike bagi tempoh 5 tahun akan datang.
Sementara itu, Blueshark terutamanya terbabit dalam, tetapi tidak terhad, kepada pembuatan e-Bike, rantaian bekalan, teknologi sistem dan ekosistem serta perdagangan karbon di ASEAN.
Selain daripada usaha niaga e-Bike, EPMB juga sedang membina kehadiran pasarannya sebagai pemain EV roda empat serantau. Pada Disember 2022, Kumpulan telah memeterai perjanjian pengedar eksklusif dengan Hubei Dongfeng Power Auto Trade Co Ltd dan Xiamen Tsingyan Hylong Motor Technology Co Ltd untuk memasang dan menjual Lingbox EV di Malaysia dan Indonesia.
Perjanjian lima tahun itu juga memberi EPMB pilihan untuk menggunakan nama jenamanya sendiri untuk EV.
Sumber: Berita Harian