EPMB teroka kredit karbon, meterai perjanjian pelaburan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


EPMB teroka kredit karbon, meterai perjanjian pelaburan

EPMB teroka kredit karbon, meterai perjanjian pelaburan

19 Sep 2022

EP Manufacturing Bhd (EPMB) meneroka sektor kredit karbon menerusi perkongsian strategik dengan dana global yang memberi tumpuan dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

EPMB dalam satu kenyataan, berkata kumpulan yang telah mempelbagaikan perniagaan ke dalam kenderaan elektrik (EV), telah bergabung dengan rakan kongsi antarabangsanya yang turut mempunyai komitmen untuk mengurangkan jejak karbon.

“Pada 16 September lalu, EPMB menandatangani Perjanjian Pelaburan dengan CIS Pride Fund SPC dan Sharkgulf Technologies Group Ltd yang berpangkalan di China, di mana pengurus dana berkenaan akan melabur pada jumlah minimum AS$50 juta (RM226.65 juta) untuk penubuhan infrastruktur pertukaran bateri untuk EV dua roda berjenama Blueshark.

“Sebagai imbasan, EPMB telah bekerjasama dengan Sharkgulf untuk melancarkan EV dua roda berjenama Blueshark di Malaysia dan di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Menurut EPMB, CIS Pride ESG Fund akan melabur dalam perniagaan EV EPMB untuk pajakan kewangan, rantaian bekalan dan pembuatannya yang berkaitan.

Secara berasingan, pada 16 September, EPMB menandatangani satu lagi Perjanjian Pelaburan dengan Siraj Holding LLC yang berpangkalan di Abu Dhabi dan Sharkgulf, di mana Siraj akan melabur secara berperingkat sekurang-kurangnya AS$50 juta (RM226.65 juta) dalam mendapatkan kenderaan dua roda berjenama Blueshark daripada EPMB.

Ia akan memajakkannya motosikal elektrik berkenaan kepada rakyat Malaysia daripada kategori B40, selain menawarkan mereka peluang pekerjaan gig untuk pendapatan tambahan.

“Ini akan menjadi sebahagian daripada program pelancaran EPMB sebelum akhir 2022,” kata EPMB.

Siraj Holding LLC, cabang keluarga Al-Otaiba, ialah entiti berjaya yang berpangkalan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kumpulan itu adalah pembiaya, yang portfolionya termasuk perbankan, pengurusan aset, insurans, kepentingan minyak dan gas, hospitaliti, pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan infrastruktur, perdagangan komoditi, teknologi dan lain-lain. Siraj memiliki jumlah aset asas kira-kira USD10 Bilion.

Pada 15 September 2022, EPMB juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (“MoU”) dengan SJQ Investments LLC yang berpangkalan di Dubai dan Sharkgulf untuk bersama-sama meneroka pengembangan dan pembangunan EV beroda dua untuk pasaran Timur Tengah dan Afrika. SJQ, diketuai oleh Sheikh Saqer J. Al-Qassimi, berusaha untuk menubuhkan Pusat Pembuatan, Jualan dan Pengedaran dengan EPMB di Ras Al-Khaimah, Emiriah Arab Bersatu.

Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah, berkata syarikat itu bersama rakan kongsi antarabangsa baharunya, komited dalam mengurangkan jejak karbon.

“Dalam hal ini, program EV dua roda kami yang diumumkan sebelum ini adalah salah satu inisiatif sedemikian. Ia adalah permulaan.

“Melangkah ke hadapan, perkongsian ini akan meneroka pelbagai inisiatif berkaitan. Penyelesaian neutral karbon kini ialah arah tuju dunia. EPMB akan terus menilai dan melabur ke arah ini. Hasil akhirnya ialah EPMB berkemampuan, dan akan mewujudkan bahagian Kredit Karbonnya sendiri.

“Kami mesti ambil perhatian bahawa dengan kerjasama yang ditandatangani baru-baru ini, kami pastinya mempunyai jumlah kepakaran, dan jumlah rangkaian bersama-sama sumber kewangan, untuk meneroka dan membawa aset ini seperti kredit karbon ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon